SC dan Bursa Malaysia gantung jualan singkat
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) hari ini mengumumkan bahawa jualan pendek atau “short selling” digantung buat sementara sehingga 30 April, 2020
Penggantungan ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan potensi risiko yang timbul daripada ketidaktentuan yang sengit dan ketidakpastian pasaran global.
Ia melibatkan jualan singkat intra hari atau 'intraday short-selling' (IDSS) dan jualan dikawal selia atau ‘regulated short selling’ (RSS), serta urusniaga harian oleh pedagang proprietari harian. Bagaimanapun, penggantungan tersebut tidak melibatkan kepada jualan singkat yang dibenarkan atau ‘permitted short-selling’ (PSS).
SC dan Bursa Malaysia memantau perkembangan yang sedang berlaku di peringkat global dan domestik.
"Kami terus memerhati aktiviti dagangan dalam persekitaran global dan pasaran yang sangat tidak menentu ini. Kami akan menilai keadaan dan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan untuk pencegahan jika perlu, dan sewajarnya untuk menyokong pasaran yang teratur,”
"Ini kekal sebagai langkah jangka pendek untuk menyediakan kestabilan dan keyakinan. Kami tetap komited untuk memastikan persekitaran perdagangan yang kondusif di pasaran,” kata Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar.
Di sebalik penggantungan sementara ini, SC dan Bursa Malaysia mengulangi keperluan untuk pasaran tetap beroperasi seperti biasa bagi memastikan akses pasaran modal Malaysia yang berterusan dan boleh dipercayai, yang penting untuk keyakinan pasaran dalam masa terdekat dan jangka panjang.
Dalam satu kenyataan minggu lepas, kedua-dua pengawal selia itu menyatakan pasaran yang lebih luas akan meneruskan dagangan bagi membolehkan pelabur menguruskan risiko dan peluang mereka dalam tempoh ini.
Sementara itu, Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dengan kesemua indeks mencatat dagangan lebih positif, didorong oleh sentimen optimis di peringkat global berikutan langkah-langkah bagi menangani impak ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.11 peratus atau 26.57 mata kepada 1,286.49 berbanding 1,259.88 sewaktu ditutup semalam.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 276 berbanding 57 manakala 107 kaunter lain tidak berubah, 1,578 tidak didagangkan dan 18 lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 186.49 juta saham bernilai RM93.88 juta.
Seorang penganalisis berkata pelabur terus berusaha mencari pakej fiskal dan sokongan bank pusat susulan unjuran ekonomi yang diturunkan di peringkat global selain kebimbangan berterusan akibat impak Covid-19 berkenaan.
"Di Malaysia, pengumuman kerajaan mengenai rancangan mengurangkan kesan ekonomi akibat krisis kesihatan itu yang dibuat semalam telah menyebabkan pelabur berasa lebih lega pada masa ini.
“Mereka turut menunggu pakej rangsangan ekonomi kedua bagi menangani masalah ini,” katanya.
Di peringkat rantau Asia Pasifik, indeks penanda aras itu sekurang-kurangnya meningkat satu peratus di Tokyo, Seoul dan Sydney selepas gelombang inisiatif lebih besar daripada rizab persekutuan masing-masing ternyata membantu mengurangkan beberapa risiko kredit korporat.
Bloomberg melaporkan bahawa pelabur juga menunggu perkembangan rundingan kongres Amerika Syarikat membabitkan pakej fiskal.
Dalam pada itu, mata wang global juga menunjukkan tanda-tanda optimis apabila yen naik 0.3 peratus berbanding dolar AS, euro menokok 0.4 peratus berbanding dolar AS kepada AS$1.0764, pound Britain meningkat pada AS$1.1585 dan yuan di luar pesisir China pada 7.1093 berbanding dolar AS iaitu kenaikan sebanyak 0.2 peratus .
Dari segi prestasi minyak, paras harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global telah meningkat kepada AS$29.93 setong, namun, penganalisis berkata syarikat gergasi minyak di seluruh dunia bersedia untuk berdepan senario paling buruk iaitu harga minyak menjunam ke paras AS$10 setong.
Sementara itu di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank naik 14 sen kepada RM7.26, Tenaga untung 12 sen kepada RM12.02, Public Bank menokok RM1.04 kepada RM14.94, Petronas Chemicals menambah 14 sen kepada RM4.41 dan MISC meraih 10 sen kepada RM7.50.
Bagi saham aktif, kaunter berkaitan minyak dan gas terus mendominasi dengan Sapura Energy naik satu sen kepada lapan sen manakala Hibiscus meningkat 2.5 sen kepada 31 sen dan Perdana menambah setengah sen kepada 12.5 sen.
Indeks FBM Emas naik 179.71 mata kepada 8,681.36 manakala FBM 70 melonjak 194.94 mata kepada 9,547.85 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 120.18 mata kepada 9,448.42.
Indeks FBMT 100 pula menokok 177.96 mata kepada 8,636.07 dan FBM Ace naik 93.60 mata kepada 3,445.54.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 1.70 mata kepada 96.83, Indeks Perladangan naik 12.88 mata kepada 5,743.58 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 386.14 mata kepada 11747.73.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai