Skip to main
Logo Malaysiakini

Air mata Fazley bercucuran, anak-anak terlalu kecil untuk faham

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Fazley Yaakob mengaku sebak apabila melihat anak-anaknya tidak dapat memeluknya selepas pulang dari Singapura, susulan kuarantin sukarela Covid-19 yang dilakukannya.

Pelakon, penyanyi dan cef selebriti itu berkata tindakannya itu, termasuk tidak bersentuhan, salah satu penjarakan sosial bagi mengekang wabak itu.

"Saya sampai Kuala Lumpur semalam petang selepas memandu seorang diri dari #Singapore. Sampai depan rumah semua anak-anak meluru nak peluk, tapi saya tak bagi.

"@elliefazley dan @fierudzfazley masih terlalu kecil untuk faham kenapa mereka tak boleh peluk saya, mereka hanya mampu menangis dan mengungkap; nak hug (peluk) didaaaa!

“Abang-abang mereka @fariedzfazley dan @fieradzfazley lebih faham sedikit walaupun masing-masing tetap sedih.

"Allahuakbar sebak sangat rasanya. Apakan daya, saya harus laksanakan apa yang terbaik demi keselamatan keluarga tercinta," katanya di Instagram.

 Mengiringi perkongsian tersebut, Fazley memuat naik sebuah klip video memaparkan pertemuan mereka sekeluarga.

Lebih menyayat hati, Fazley berkata, matanya bergenang apabila dia melihat isteri, Azrene Soraya Abdul Aziz dan ibunya, Umi Kalsom Abdul Latip juga terpaksa melalui langkah pencegahan sama seperti dilakukan kepada anak-anaknya.

"Saya sendiri bergenang juga air mata apabila melihat isteri saya @azrene_ahmad turut menangis melihatkan anak-anak yang rindukan saya.

"Ibu saya @rsd.umi juga nyatakan; sedihnya kita hanya jumpa macam ni, adik bongsu saya @nadyaakob juga bergenang air matanya," katanya.

Untuk rekod, sebagai respons kepada salah seorang seorang daripada pengikutnya di Instagram, Fazley memaklumkan air matanya bercucuran sewaktu dia memandu untuk beredar dari rumah.

Kata Fazley, sekembalinya ke tanah air, dia bertanggungjawab untuk mengasingkan diri atau kuarantin selama 14 hari iaitu bukan tinggal di kediaman sama.

"Saya masih kena self #Quarantine selama 14 hari. Bermakna duduk jauh dari keluarga dan bukan di rumah yang sama.

"Buat anak-anak dida, tunggu dida ya. Dida akan balik rumah dalam masa 14 hari lagi OK. Dida sayang dan akan merindu kamu semua sangat-sangat," katanya.

Sebab sayang, puji Sharifah Shahirah

Perkongsian tersebut juga mengundang perhatian rakan-rakan selebriti antaranya pelakon Sharifah Shahirah yang memuji tindakan itu sebagai langkah bijak bagi memastikan keselamatan keluarganya.

"Tindakan bijak... sebab sayang," katanya.

Fazley berkahwin dengan Azrene pada 2007.

Hasil perkongsian hidup itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu, Ahmad Fariedz Shah, 12, Ahmad Fieradz Shah, 11, Ahmad Firudz Shah, 8, dan Alayna Selma kini berusia dua tahun.