Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas sebulan perhimpunan Tabligh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Dari statistik terkini mangsa Covid-19, apa yang disyaki akan berlaku dari himpunan Tabligh di Sri Petaling, telah pun menjadi kenyataan.

Saya telah meminta beberapa kali supaya kampung dan lokasi asal peserta Tabligh Sri Petaling diumumkan pada orang awam supaya mereka yang berada di kawasan tersebut boleh berhati-hati atau memilih untuk menjauhi kawasan tersebut.

Tanpa maklumat tersebut rakyat tidak boleh membuat pilihan untuk menjauhi kawasan berpotensi tinggi jangkitan Covid-19. Ini adalah maklumat asas yang kerajaan bertanggungjawab dan rakyat wajib di beritahu dari awal.

Kalau maklumat kawasan tertinggi jangkitan Covid-19 kawasan lembah Kelang di Petaling Jaya dan Lembah Pantai boleh diumumkan, kenapa tidak maklumat peserta Tabigh tersebut?

Himpunan Tabligh Sri Petaling telah berlangsung pada 27 Februari 2020 dan hari ini 24 Februari, masuk minggu keempat majlis tersebut.

Jangkitan pertama peserta setelah pulang ke kampung kebanyakannya ahli keluarga sendiri.

Jangkitan kedua kebanyakan akan terdiri dari orang masyarakat kampung dan juga jemaah surau serta masjid setempat. Dari situ orang yang dijangkiti membawa kuman tersebut kepada keluarga dan rumah masing-masing pula.

Dari awal statistik jangkitan Covid-19 terdiri hampir 60 peratus peserta Tabligh tersebut.

Masuk minggu ketiga dan keempat, angka jangkitan baru masih di angka 60 peratus dan semalam jangkitan adalah tertinggi dalam satu hari.

Semalam angka jangkitan terbaru Covid-19 adalah tertinggi dengan bilangan 212 orang dan jangkitan dari golongan kumpulan Tabligh Sri Petaling sahaja adalah juga yang tertinggi, iaitu 123 orang!

Umumkan kampung peserta

Selepas empat minggu himpunan Tabligh tersebut, angka 123 atau 45 peratus dari jangkitan baru keseluruhan Malaysia menunjukkan penyebaran sangat luas di luar kalangan kelompok asal peserta Tabligh tersebut.

Jika kerajaan mengumumkan kawasan asal kampung peserta tersebut ramai mungkin boleh mengelak kawasan tersebut.

Kenapa baru sekarang, selepas hampir empat minggu, kerajaan baru mengumumkan yang peserta Tabligh yang tiada dokumen sah perjalanan tidak akan di ambil tindakan atau ditangkap dan mereka hanya akan diperiksa kesihatan ?

Golongan ini adalah kebanyakkanya dari kumpulan warga asing yang telah berkeliaran seluruh Malaysia selama empat minggu! Bayangkan potensi jangkitan berterusan kerana empat minggu telah berlalu.

Soalannya adalah kenapa berahsia tempat kampung asal peserta Tabligh tersebut dan kenapa mengambil masa hampir sebulan sebelum mengistiharkan tiada tindakan akan di ambil ke atas warga asing yang terlibat ?

Dalam waktu krisis kesihatan sebegini tindakan cepat dan tepat amat kritikal.

Dalam isu ini kerajaan telah gagal melindungi rakyat seperti sepatutnya dengan tindakan tidak tepat dan lambat.

Menteri Luar Korea Selatan telah menyatakan kejayaan mereka mengawal dan membendung merebaknya Covid-19 adalah melalui polisi openess, transparency and keeping public fully informed, iaitu sikap keterbukaan, telus dan memberi maklumat kepada rakyat.

Harapnya biarlah ini menjadi satu pengajaran kepada kerajaan hari ini.

15,000 orang peserta Tabligh adalah bilangan yang tinggi dan tempoh empat minggu untuk membuat pengumuman tiada tindakan kepada peserta tertentu adalah terlalu lama.

Rakyat berhak diberi tahu maklumat penting kerana ia melibatkan keselamatan nyawa mereka. Kerajaan tidak berhak berahsia dalam isu ini.


RAJA BAHRIN SHAH ialah anggota parlimen Kuala Terengganu merangkap pengerusi Pakatan Harapan Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.