Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga kedai runcit mengeluh sukar dapatkan roti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Selain perlu berada di rumah masing-masing dalam kebanyakan masa sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, ada sesuatu yang turut meresahkan sesetengah orang.

Bekalan roti dikatakan sukar untuk diperolehi. Jika ada pun, pilihan sangat terhad.

Peniaga di sekitar Kuala Lumpur juga memaklumkan mereka mula berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Semasa Malaysiakini melakukan tinjauan di Kepong hari ini, peniaga mendakwa mereka dimaklumkan oleh pengedar bahawa pengeluar roti memberi tumpuan untuk menghantar bekalan ke pasar raya besar.

Peniaga kedai runcit, Alaudin Nur Muhammad, berkata mereka mula sukar mendapat bekalan sejak beberapa hari lalu, sedangkan pada masa sama permintaan meningkat.

"Hari ini kami masih belum mendapat bekalan roti, sudah beberapa kali hubungi pengeluar.

"Kita minta 300 hingga 400 bungkus roti, tak dapat, tapi mereka boleh hantar ke pasar raya sampai 2,000 bungkus.

"Malah, ada syarikat pengeluar roti langsung tak hantar kepada kami sejak perintah ini berjalan," katanya hari ini.

Pengeluaran tahap maksimum

Tambah Alaudin, sejak perintah kawalan pergerakan bermuka permintaan orang ramai terhadap roti memang meningkat ketara, dan dianggarkan sehingga dua kali ganda.

Tinjuan Malaysiakini mendapati roti jenama Gardenia dan Massimo antara yang laris di pasaran dan sukar diperoleh pembeli ketika ini.

Sebelum itu Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd iaitu pengeluar roti Gardenia memaklumkan tidak dapat menambah bekalan produknya di pasaran buat masa ini.

Dalam satu kenyataan ringkas, syarikat itu berkata ia disebabkan pengeluaran roti di kilang-kilang Gardenia kini telah sampai ke tahap maksimum.

"Kami ingin memaklumkan bahawa buat masa ini pengeluaran roti di kilang-kilang Gardenia telah sampai ke tahap maksimum.

"Oleh yang demikian, kami tidak dapat lagi menambah bekalan produk-produk kami di pasaran.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih di atas kefahaman tuan/puan dan segala kesukaran yang timbul amatlah dikesali,” kata kenyataan itu.

Ada tapi cepat habis

Seorang lagi peniaga Kamal Abdullah, berkata mereka terputus bekalan roti sama sekali mula hari ini, justeru tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

"Hari ini pengeluar sudah tidak menghantar roti kepada kami lagi, sama ada Gardenia mahupun Massimo.

"Memang agak susah untuk mendapat bekalan, sebelum ini kalau dapat pun, tak banyak.

"Dalam situasi sekarang kalau ada roti biasanya pelanggan beli dua atau tiga bungkus seorang," katanya.

Sementara itu, pekerja di sebuah kedai serbaneka yang hanya mahu dikenali sebagai Mas mengakui mereka juga berdepan kesukaran untuk mendapat bekalan roti.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihaknya masih mendapat bekalan itu, namun dalam kuantiti yang tidak banyak.

"Masih dapat bekalan tetapi tidak banyak seperti dulu, biasanya jam 7 pagi roti sudah sampai.

"Kemudian roti yang ada akan habis segera, paling lambat jam 12 tengah hari," katanya.