Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 106 kes baru, jumlah kini 1,624 dengan 15 kematian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia hari ini mencatatkan 106 lagi kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,624 kes, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah.

Peningkatan itu adalah yang terendah dalam tempoh 10 hari. Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 212 kes, jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sehari.

“64 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU, dengan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, daripada 106 kes baru yang dilaporkan hari ini, 43 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan di Sri Petaling.

“Sebanyak 63 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian,” katanya.

Noor Hisham juga mengumumkan bahawa satu kematian baru direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kematian sebanyak 15 orang.

Beliau berkata pesakit itu mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi, dan disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-703, semasa solat Jumaat.

“Beliau mempunyai gelaja selama seminggu iaitu demam, batuk dan kesesakan nafas untuk tiga hari. Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 18 Mac 2020.

“Kesihatan beliau merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kemudiannya disahkan meninggal dunia hari ini pada 5.35 pagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat 24 kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah dibenarkan keluar daripada wad adalah 183 kes.