Skip to main
Logo Malaysiakini

Dana disekat: K'jaan PH gagal betulkan keadaan, kata MP PKR

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Subang Wong Chen membayangkan PH turut bertanggungjawab ke atas keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyekat peruntukan kepada anggota parlimen pembangkang.

Anggota parlimen PKR itu berkata, PH ada peluang untuk membetulkan keadaan tetapi sebaliknya mengekalkan amalan BN sebelumnya.

"Bagaimana kita ada dalam keadaan ini? Ketika kita menang pada 2018, pimpinan PH memutuskan untuk 'menghukum' pembangkang ketika itu dengan mengehadkan belanjawan operasi mereka dan menafikan dana komuniti untuk mereka.

"Sementara MP PH dapat RM300,000 untuk operasi pejabat kami, pembangkang hanya dapat RM100,000. MP PH juga menerima RM3.5 juta untuk dibelanja terhadap komuniti kami, pembangkang tak dapat apa-apa.

"Kenapa kami melakukannya? Siapa yang tahu. Mungkin sesetengah dalam kepimpinan mahu 'balas dendam' kerana itulah yang berlaku kepada kami sebelum 2018. Mungkin sesetengah dalam kepimpinan berbuat demikian untuk memancing mereka (MP pembangkang ketika itu) untuk melompat.

"Apa saja sebabnya, kita terlepas peluang untuk buat perkara yang betul, iaitu memberikan sumber sama rata kepada semua anggota parlimen," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kini dengan keadaan yang telah berubah, kata Wong, anggota parlimen PH boleh menjangka layanan sama, kalau pun tidak lebih buruk, akan diterima daripada kerajaan.

'Guna poket sendiri'

Menurut Wong, pejabatnya kini akan meneruskan tugas teras sebagai anggota parlimen, iaitu meluluskan undang-undang, menimbang dasar kerajaan menerusi jawatankuasa parlimen, dan memantau belanjawan persekutuan.

Katanya, tiada lagi dana untuk kegiatan masyarakat.

Sementara mengubah belanjawan pejabatnya, Wong berkata beliau perlu menggunakan wang sendiri untuk kos pengurusan dan pentadbiran, yang boleh mencecah RM25,000 sebulan.

"Saya tak pasti bagaimana dengan MP PH lain. Poket saya tak terlalu tebal untuk kekal menjalankan program masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, penduduk di kawasan Parlimennya boleh berhubung dengan adun mereka memandangkan PH masih mentadbir Selangor.

Beberapa anggota parlimen yang menjadi pembangkang sejak penubuhan kerajaan PN berkata peruntukan untuk mereka telah ditarik balik.

Kerajaan PH runtuh selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada PH, untuk menubuhkan PN dengan sokongan BN, PAS, GPS, sejumlah bekas anggota parlimen PKR, dan beberapa parti kecil.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan PH di Selangor juga tidak memberikan peruntukan berkaitan wabak Covid-19 secara terus kepada adun pembangkang, sebaliknya menyalurkannya kepada penyelaras.

Menteri Besar Amiruddin Shari mempertahankan langkah itu dengan menyifatkan ia adalah amalan biasa.