Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki 75 tahun meninggal dunia akibat Covid-19, angka kematian kini 16

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan memaklumkan seorang lagi meninggal dunia akibat Covid-19, menjadikan jumlah kematian kini 16 orang.

Dalam kenyataan di Facebook, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian ke-16 itu melibatkan pesakit 1334, yang merupakan seorang lelaki warga Malaysia berusia 75 tahun yang mempunyai latar belakang beberapa penyakit kronik lain.

Mengucapkan takziah kepada keluarga, Noor Hisham berkata pesakit itu meninggal dunia pada pukul 7.40 malam tadi dan punca jangkitan terhadapnya masih dalam siasatan.

"Beliau mula menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac.

"Kesihatan beliau telah merosot lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac. Beliau telah disahkan meninggal dunia pada pukul 7.40 malam 24 Mac," katanya.

Dalam perkembangan lain, PDRM memaklumkan seorang anggotanya meninggal dunia ketika menjalankan tugas penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan tetapi ia tidak berkaitan dengan Covid-19.

Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, PDRM berkata Koperal Mohd Masri Maguni pitam ketika melakukan penguatkuasaan Covid-19 di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Allahyarham dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah dan meninggal dunia di sana pada awal pagi tadi.

'Pekerja Nestle Malaysia positif'

Sementara itu, Nestle Malaysia memaklumkan seorang pekerjanya disahkan positif Covid-19.

Menurut Bernama, syarikat itu berkata pekerja itu dalam keadaan baik dan kini sedang menjalani rawatan.

"Sebaik sahaja kami mengetahui perkembangan ini, kami terus melaporkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya. Kawasan kerja telah dikosongkan dengan selamat dan kini kami meneruskan kerja pembasmian kuman serta melakukan sanitasi lengkap kawasan berkenaan.

"Kami juga telah memulakan pengesanan kontak terperinci, dan sesiapa yang mungkin berhubung langsung dengan pekerja yang dikuarantin itu diminta menjalani protokol saringan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata syarikat itu.