Skip to main
Logo Malaysiakini

Debu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hujan sudah tiba di antara kita

melambungkan udara yang diam.

Burung layang-layang menepis air

di danau Lombard,

terbang bagai burung camar menyambar ikan

di balik pagar taman, aroma rumput kering

Satu tahun sudah terbakar

tampa duka, tanpa jeritan

yang disuarakan merebut - tiba-tiba - suatu hari.

- Hujan Sudah Tiba Di Antara Kita, Salvatore Quasimodo

Memang kadang-kadang sajak diperlukan untuk membuat kita sedar kepada hal-hal sepele. Hal-hal yang tidak pernah - atau jarang - dihargai. Malangnya sajak itu sendiri bagi sesetengah orang adalah sepele itu sendiri.

Tapi itulah, sunyi adalah sunyi, sehinggalah ada seniman memberitahu ia kadang-kadang sebenarnya laungan yang bingit. Cuma kita tidak menyedari. Atau lebih tepat, enggan menghargai.

Hujan tidak akan dinikmati sebenar-benarnya sehinggalah kita terpanggang oleh panasnya cuaca. Justeru tidak ramai yang dapat menikmati irama titis air itu pecah ketika ia terhempas ke aspal, misalnya. Atau diselerakkan oleh daun-daun kering di tanah.

Kerana keaplaan itu jugalah kita selalu mengambil mudah kepada sesuatu yang seni dan halus. Yang sukar ditangkap oleh mata atau telinga. Kita kekal begitu tanpa menyedari dalam sejarah kewujudan manusia, entah berapa kali kita ditewaskan oleh hal-hal kecil itu.

Misalnya, debu atau pun kuman.

Taun pernah meragut ribuan nyawa pada ribuan tahun lalu. Pada zaman moden ini dianggarkan antara 21,000 sehingga 143,000 orang mati kerana bakteria Vibrio cholerae itu.

Tanpa rawatan yang segera dan tepat, penghidap taun boleh saja mati dalam tempoh beberapa jam saja.

Pada beberapa dekad terakhir ini kita sendiri selalu kesesakan nafas apabila ruang udara diselimuti jerebu. Ia berpunca daripada molekul halus yang terapung-apung di udara hasil daripada kegiatan pembakaran.

Dan terkini dunia berperang dengan virus korona. Untuk beberapa ketika, kita sendiri tercari-cari istilah untuk menamakan makhluk seni itu. Kita kemudian tenggelam punca untuk bertindak balas.

Entah sudah berapa kali kita - yang berasa 'besar' ini - lelah dan ditundukkan oleh hal-hal yang kecil sebegitu. Di sebalik pelbagai kecanggihan alat dan akal yang ada, kita akan selalu terpaksa menangguhkan langkah untuk berfikir, mengkaji dan mencari penyelesaian.

Kadang-kadang seketika, tapi biasanya kita perlu berhenti lama.

Kucabut pohon itu, seakar-akarnya

yang masih menitikkan embun dini hari.

Oh, betapa ia telah membasahi bumi

bau sedap dan lembab di mana-mana

betapa titik hujan, betapa menyilaukan bintang-bintang

jatuh di wajahku, di mataku!

- Sajak, Juan Ramon Jimenez

Ketika semua orang kerisauan menghadapi Covid-19, ramai juga yang tidak bimbang kepada suatu lagi hal seni yang lebih halus daripada virus itu. Ia dinamakan pemikiran beracun.

Berbanding kuman yang berada di udara, pada besi atau mana-mana permukaan, bahaya pemikiran beracun itu tentulah lebih memudaratkan kerana ia berpusat di sel-sel otak manusia.

Ia tumbuh berakar oleh kejahilan dan pemahanan yang dipesongkan. Malangnya kadang-kadang ia berlaku bukan disebabkan oleh kepalsuan, tetapi fakta benar yang diselewengkan oleh falasi yang disengajakan.

Contohnya, berasa bahawa bangsa dan anutan agama boleh menjadikan penangkal kepada penyakit. Atau berasa sesuatu wabak itu menjadi lesen untuk kita menjadi rasis. Dan kerana kita 'bangsa terpilih' sikap keji itu tidak akan membawa kita ke neraka.

Sebagai seorang Muslim, tentulah panduan teratas untuk dijadikan pegangan ialah al-Quran, kemudian barulah hadis, serta turutan lain-lain selepasnya.

Melalui kitab suci itu serta sirah nabi, begitu banyak pengajaran yang boleh diambil. Nah, di situ masalahnya, kadang-kadang. Kita mengambil apa yang kita suka saja.

Apabila terjadi sesuatu bencana, kita cepat meletakkan hukum. Terkena kepada orang yang tidak kita suka, maka dibingkaikan ia sebagai bala. Kemudian jika tertimpa ke atas orang yang kita suka, maka ia dihukumkan ujian.

Lebih malang, kadang-kadang perubahan makna daripada bala kepada ujian - atau sebaliknya - itu boleh saja berlaku dalam tempoh yang singkat. Mungkin lebih singkat daripada kain lilit serban di kepala saja.

Betullah, sesekali kita bermunajat sambil menadah tangan memohon keampunan. Bibir dan lidah saling bekerjasama melafazkan penyesalan - kononnya - dan mengharapkan keadaan berubah.

Sekali lagi, ia tidak semudah itu. Hal yang kecil, seni dan 'debu' itulah kuncinya. Hati. Di dasar hati itu masih ada kebencian dan dendam. Juga keyakinan tertancap kukuh bahawa kita tetap berada di pihak yang benar dan baik.

Bala dan bencana ini memang datang kerana keserakahan, tetapi bukan keserakahan kita. Ia salah orang lain. Biasanya orang yang bukan sebangsa atau seagama kita. Atau lebih sering, orang yang tidak sefahaman dengan kita. Mutlak begitu saja.

Kerana apa? Kerana kita sentiasa "benar" dan akhirnya kita pasti akan ke syurga.

[...]

Selama matahari dan bulan di atas sana

selama lebah menghampiri mawar

selama bayi-bayi sihat dilahirkan

tak ada yang mempercaya apa yang terjadi kini.

Hanya seorang lelaki berambut putih, yang mestinya rasul

namun bukan rasul - sebab dia terlampau sibuk bekerja,

berkata berulang kali sambil mengikat tomato-tomatonya:

Tak akan ada hari kiamat lain

tak akan ada hari kiamat lain.

- Nyanyian Tentang Hari Kiamat, Czeslaw Milosz

Kita akan terus mengabaikan hal-hal sepele dan kecil. Seperti saat demi saat yang berlaku dan mendekatkan kita kepada permulaan detik pengakhiran serta kehancuran kerana apa yang selalu diperhitungkan cuma hari, minggu, bulan dan tahun.

Kita enggan memberi perhatian kepada hal-hal yang kecil, termasuk diri kita sendiri. Sementelah kita ini memang debu-debu yang selalu diterbangkan angin pada setiap saat yang tidak kita endahkan.


AL-ABROR ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.