Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan S'gor titah peserta tabligh yang masih degil jalani ujian Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh di Seri Petaling supaya tampil membuat ujian saringan Covid-19.

Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Sultan Selangor, baginda bertitah peserta himpunan tabligh yang masih berdegil dan belum melakukan ujian saringan supaya segera tampil berbuat demikian.

"Baginda turut menggesa individu-individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur pada akhir Februari lalu, yang masih berdegil, agar tampil untuk menjalani saringan.

"Baginda khuatir sekiranya penularan wabak ini berlarutan dan jumlah kes jangkitan terus meningkat, ia akan menyebabkan tempoh perintah kawalan pergerakan dipanjangkan lagi.

"Ia sekali gus akan menjejaskan lagi kegiatan harian rakyat dan memberi impak serius terhadap pendapatan golongan-golongan di pelbagai peringkat seperti peniaga dan usahawan kecil," titah baginda.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan 13,000 saringan ke atas jemaah tabligh dan sebanyak 8,000 kes didapati bergejala dan 986 kes positif Covid-19.

KKM masih berharap agar jemaah tabligh tampil membuat ujian saringan kerana daripada 1,624 kes positif Covid-19, risiko adalah lebih tinggi dari kalangan mereka.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai membantu mengesan mereka serta kontak dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Katanya, KKM sudah memaklumkan kepada Jabatan Kesihatan negeri untuk menerima jemaah tabligh yang tidak bergejala menjalani ujian saringan di klinik dan hospital kerajaan terdekat.

Dalam pada itu, Sultan Selangor yang menerima mengadap Menteri Besar Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam turut menzahirkan kebimbangan kerana kerana masih ada rakyat yang degil dan tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Justeru itu, baginda menasihatkan agar rakyat patuh dan tidak melanggar perintah berkenaan demi memastikan rantaian wabak Covid-19 ini dapat dihentikan.

"Titah Baginda, kedegilan dan sifat pentingkan diri sendiri dalam situasi kritikal sekarang akan hanya menyusahkan pelbagai pihak khususnya yang berada di barisan hadapan.

"Baginda menegaskan agar semua rakyat duduk di rumah, dan bagi mereka yang mempunyai simptom-simptom Covid-19 agar tampil melakukan pemeriksaan dan pengasingan (isolation)," jelas kenyataan itu.