Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes Covid-19 di AS makin teruk, kemelesetan global hampir pasti

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Amerika Syarikat boleh menjadi pusat global merebaknya pandemik koronavirus, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sementara India mengumumkan perintah berkurung 24 jam di seluruh negara di negara kedua terpadat di dunia itu.

India menyertai Britain dan negara-negara lain yang cuba membendung penularan virus itu yang telah meranapkan aktiviti perniagaan dari Jepun sehingga ke Amerika Syarikat pada kadar rekod pada Mac.

Koronavirus yang mudah berjangkit itu telah menyaksikan sebahagian besar negara melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan. Di sesetengah negara, tentera meronda di jalanan untuk memastikan orang ramai tinggal di rumah.

"Krisis kesihatan global itu secara cepat sedang berubah menjadi kemelesetan global, kerana jelas terdapat percanggahan antara mencegah jangkitan dan meranapkan ekonomi," kata Edoardo Campanella, seorang pakar ekonomi di UniCredit Bank di Milan.

Walau bagaimanapun Wall Street bangkit semula daripada paras tiga tahun terendah apabila para pelabur menaruh harapan mereka kepada Senat AS yang meluluskan rang undang-undang rangsangan atau stimulus bernilai AS$2 trilion.

Setakat semalam, kes koronavirus yang disahkan di seluruh dunia kini melebihi 377,000 dan dicatatkan di 194 negara. Menurut perangkaan Reuters, lebih 16,500 kematian dicatatkan.

Di Geneva, jurucakap WHO, Margaret Harris berkata, jangkitan di Amerika Syarikat terus meningkat.

Sepanjang 24 jam sebelum ini, 85 peratus kes baru dilaporkan di Eropah dan Amerika Syarikat, dan daripada jumlah itu 40 peratus berada di Amerika Syarikat.

Setakat Isnin, virus itu telah menjangkiti lebih daripada 42,000 orang di AS dan membunuh sekurang-kurangnya 559 orang.

[Baca berita penuh]