Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun Bkt Gasing beri elaun RM100 kepada pekerja sektor penting

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran menawarkan elaun pengangkutan sebanyak RM100 kepada pekerja di sektor penting yang terpaksa bekerja di luar waktu puncak semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan menggunakan pengangkutan awam.

Menurut wakil rakyat itu, inisiatif berkenaan diambil bagi menghargai pengorbanan pekerja sektor penting dan baris hadapan yang merisikokan diri mereka ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

“Kita sedang menghadapi kedua-duanya iaitu krisis ekonomi dan krisis kesihatan dengan Covid-19. Bila sebahagian daripada kita duduk di rumah, mereka dari perkhidmatan sektor penting perlu bekerja di luar.

“Kita perlu menghargai pengorbanan mereka kerana mereka merisikokan kesihatan mereka untuk kita,” kata Rajiv kepada Malaysiakini hari ini.

Selain itu, beliau turut menegaskan terdapat segelintir pekerja sektor penting yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja dari rumah dan terkesan dengan langkah kerajaan mengehadkan waktu operasi pengangkutan awam sepanjang PKP.

“Langkah ini akan memberi kesan besar terhadap pekerja di sektor penting yang tidak memandu kenderaan tetapi bergantung dengan pengangkutan awam terutamanya yang bekerja syif, yang mula atau selesai kerja mereka di luar waktu puncak bekerja biasa pada pagi dan petang,” katanya.

Sehubungan itu, Rajiv melancarkan skim jangka pendek ini bagi memberi bantuan kewangan kepada pekerja di sektor penting yang bergantung dengan pengangkutan awam untuk bekerja syif dan juga kepada mereka yang perlu menggunakan teksi atau Grab.

Bagi mereka yang bekerja atau tinggal di kawasan Bukit Gasing boleh memohon elaun khas ini dengan menghantar salinan kad pengenalan dan dokumen kerja berkaitan di emel [email protected] atau [email protected].

“Ini untuk mengurangkan kesan kewangan yang dihadapi mereka.

“Dengan menggunakan peruntukan kerajaan Selangor kepada adun untuk kes Covid-19, saya menawarkan RM100 kepada setiap pekerja selama tujuh hari sepanjang PKP,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyarankan agar pihak kerajaan turut melakukan tindakan sama terhadap pekerja di sektor penting yang terjejas dan terpaksa bergantung dengan pengangkutan awam.

“Saya hanya seorang adun jadi ia hanya melibatkan kawasan saya. Kerajaan sepatutnya buat perkara ini kepada semua orang.

“Kerajaan mengehadkan pengangkutan awam untuk mengurangkan pergerakan manusia, mereka juga patut fikir tentang doktor, jururawat, polis dan ramai lagi pekerja di sektor penting yang mendapat impak negatif daripada langkah ini,” kaatnya lagi.