Skip to main
Logo Malaysiakini

MAH galakkan hotel jadi hospital sementara, bergantung kemampuan pemilik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata pihaknya sebelum ini lagi sudah menggalakkan hotel-hotel turut serta dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Lip Seng berkata, ia termasuklah menggalakkan hotel-hotel untuk menawarkan penginapan sementara kepada petugas penjagaan kesihatan ataupun sebagai pusat kuarantin.

"Sememangnya kami ada menggalakkan hotel-hotel untuk menawarkan penginapan sementara untuk tujuan ini, ataupun sebagai pusat kuarantin.

"Tetapi perkara ini tertakluk kepada kebolehan setiap pemilik hotel.

"Pada masa ini Tune Hotel PWTC dibawah kerjasama ECM-Libra dan Ormond Group telah dijadikan tempat penginapan sementara untuk Hospital Kuala Lumpur, dan juga ada hotel-hotel yang membekalkan makanan dan minumum kepada petugas-petugas hadapan seperti polis dan tentera,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Yap berkata demikian selepas diminta mengulas cadangan bekas timbalan menteri pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik agar hotel-hotel dijadikan hospital sementara atau tempat rehat kepada petugas barisan hadapan dalam usaha mengekang penularan wabak itu.

Yap bagaimanapun berkata kos yang diperlukan bagi cadangan itu amat tinggi walaupun perkhidmatan yang disediakan adalah paling minimum.

“Pihak hotel perlu pertimbangkan kos pembersihan dan sanitasi selepas penggunaan hotel.

“Pemilik dan pengurusan hotel juga perlu pertimbangkan penjagaan keperluan pekerja hotel dalam situasi ini,” jelasnya.

Jejaskan hotel kecil

Mengulas cadangan itu, pemilik Royal Guest House Kelantan, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata langkah itu perlu sekiranya ia adalah pilihan terakhir.

Namun, tambahnya, ia akan memberikan kesan yang lebih teruk kepada hotel-hotel kecil.

“Sekiranya ini adalah pilihan terakhir, mungkin perlu untuk dijalankan.

“Tetapi sejujurnya, industri ini dah terjejas teruk dan kebanyakannya dah tutup operasi secara sementara dan ada yang memang dah tutup kerana tak mampu untuk beroperasi,” katanya.

Rusmin turut berkata kebimbangan utamanya adalah kebajikan pekerjanya.

“Rata-rata pekerja ini hanya menerima gaji minimum dan ada yang diberikan cuti tanpa gaji dalam tempoh dua minggu ini.

“Macam mana mereka nak teruskan hidup sekiranya isu ini berlanjutan?” luahnya.

Rusmin berpendapat cadangan untuk menjadikan hotel sebagai hospital sementara mungkin bersesuaian dengan hotel milik kerajaan atau yang berdekatan dengan hospital.

“Mungkin secara teori cadangan ini nampak baik cuma banyak benda perlu dilihat selain daripada hotel mempunyai katil dan bilik untuk pengasingan,” jelasnya.

Pada 13 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menganggarkan kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM3.37 bilion akibat Covid-19.

Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19 dilanjutkan dua minggu lagi dari tempoh asal yang akan berakhir pada 31 Mac kepada 14 April.

Malaysia setakat ini mencatatkan 17 kematian akibat Covid-19, dengan jumlah keseluruhan kes jangkitan sebanyak 1,796.