Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP bertepatan dengan syariat Islam, kata bekas mufti Johor

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas mufti Johor, Nooh Gadut menyifatkan keputusan kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan wabak Covid-19 adalah bertepatan dengan tuntutan Islam.

Beliau yang juga Penasihat Majis Agama Islam Johor (MAIJ), berkata mencegah kemudaratan yang boleh meragut nyawa itu lebih penting berbanding merawat.

"Kerajaan telah mengambil kira banyak pertimbangan dan ini membabitkan soal nyawa, kita tidak mahu situasi menjadi tidak terkawal.

"Allah SWT telah memberi peringatan dalam al-Quran bahawa jangan sesekali lontarkan diri kamu dalam kebinasaan.

"Pertimbangan mencegah itu lebih baik daripada mewarat, dari segi hukum tak ada masalah (laksanakan PKP) boleh dan menepati dengan akidah ahli sunnah wal jamaah (ASWJ)," katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang sepatutnya berakhir 31 Mac akan dilanjutkan sehingga 14 April.

Dalam pengumuman langsung di kaca TV hari ini, Muhyiddin berkata beliau memaklumkan pelanjutan tempoh itu lebih awal supaya orang ramai dapat bersedia.

Setakat ini Malaysia telah mencatat 19 kematian akibat wabak Covid-19 dan 1,796 kes jangkitan.

Sementara itu, Nooh menambah bahawa Islam mengajar umatnya supaya berikhtiar sebaik mungkin terlebih dulu sebelum berserah kepada Allah SWT.

Malah, katanya, dalam satu hadis sahih, Nabi Muhammad SAW melarang umatnya menghampiri sesuatu kawasan yang dilanda wabak, begitu juga jika berada di dalam kawasan wabak berkenaan adalah dilarang untuk keluar dari kawasan itu.

"Misalanya, solat Jumaat itu wajib, tetapi ia ada kelonggaran jika ada keuzuran ataupun kemudaratan apatah lagi membabitkan nyawa.

"Ibadat tetap ada, solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor di rumah, boleh dilakukan secara berjemaah bersama keluarga, kalau boleh laungkan azan di rumah," katanya lagi.

Jelas Nooh lagi, wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini adalah ujian dan bala dari Allah SWT, namun terselit hikmah di sebaliknya.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai supaya menghentikan segala kepincangan yang berlaku dalam masayarakat seperti perpecahan, penipuan, kezaliman mahupun permusuhan.