Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga remaja diheret ke mahkamah kerana langgar PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang remaja 15 tahun yang memandu kereta bersama dua penumpang remaja lain yang sebelum ini ditahan dalam sekatan jalan raya di Taiping, Perak, dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini kerana tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sinar Harian melaporkan ketiga-tiga mereka, termasuk seorang bernama Lim Chun Hoe yang berumur 19, dan dua rakannya berumur 15 dan 16 tahun didakwa tidak mematuhi arahan penguatkuasaan PKP dengan bergerak dari Taman Sungai Mas, di sini ke Jalan Air Kuning.

Mereka ditahan di dalam sebuah kereta di Jalan Air Kuning pada 22 Mac, jam 3 pagi.

Lim dan seorang lagi penumpang berusia 16 tahun didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Remaja berusia 15 tahun itu pula dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika pelaksanaan PKP.

Menurut laporan Sinar Harian, ketiga-tiga mereka mengakui tidak memahami sepenuhnya isi kandungan pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Majistret Adibah Abdul Kadir kemudiannya memutuskan sebutan semula kes tersebut pada 4 Mei dengan kehadiran jurubahasa Cina dengan dialek Hokkien.

diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Puteri Hikmatul Dzulaika Mohamad dibenar diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Faakihin Ahmad Fauzi.