Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri seru rakyat Kelantan patuh PKP

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menyeru rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Kelantan khususnya agar mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan tempohnya sehingga 14 April 2020.

Mengulas artikel Malaysiakini bertajuk 'Rakyat Kelantan 'degil', polis akan ketatkan sekatan', katanya, kerjasama rakyat dengan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan langkah yang diambil kerajaan berkesan dan tidak sia-sia.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Kelantan khususnya agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan tempohnya hingga 14 April 2020.

"Kerjasama dengan pihak yang menguatkuasakan undang-undang khususnya Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti petugas kesihatan, PDRM dan ATM, amatlah penting bagi memastikan langkah yang diambil oleh kerajaan demi menjaga nyawa rakyat, berkesan serta tidak sia-sia," katanya yang juga anggota parlimen Kota Bharu.

Semalam, Malaysiakini dalam satu tinjauan di sekitar Kota Bharu mendapati pergerakan kenderaan di sekitar jalan raya utama di negeri Kelantan kembali meningkat.

Banyak kenderaan khususnya orang awam masih berdegil dan tidak akur dengan perintah tersebut dengan pelbagai alasan.

Antara alasan paling kerap diberikan adalah untuk keluar ke pasar raya atau kedai-kedai untuk membeli barang keperluan, mengambil duit di bank dan membayar bil utiliti.

Selain itu, faktor penerimaan gaji bulanan juga menyebabkan orang ramai mengambil peluang untuk keluar membeli barangan keperluan harian.

Susulan itu Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan lebih tegas terutama di Kota Bharu iaitu hanya membenarkan mereka yang mempunyai urusan betul-betul penting sahaja termasuk yang bekerja dibenarkan masuk ke bandar.

Sementara itu Takiyuddin yang juga menteri hal ehwal parlimen dan undang-undang menegaskan, pihak yang diberi kuasa mengikut undang-undang tersebut boleh menggunakan apa jua cara hatta kekerasan bagi memastikan PKP dipatuhi.

"Selain boleh menahan, mendakwa sehingga dihukum penjara atau dikenakan denda oleh mahkamah sebagaimana yang telah dilaksanakan.

"Saya berharap kesabaran kita menghadapi tempoh getir dan mencabar ini mampu menyelamatkan nyawa semua rakyat Malaysia daripada terus diserang virus Covid-19 yang amat berbahaya serta membawa maut ini," jelasnya.