Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP: Polis PJ tangkap 15 orang sepanjang 24 jam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Petaling Jaya telah menangkap 15 orang sejak dua hari lalu kerana gagal mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mereka ditangkap di bawah Peraturan 7 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kesemua tangkapan ke atas seramai 15 orang dalam tempoh 24 jam disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Dalam kes tangkapan pertama, dua orang warga Myanmar yang berusia 30-an ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di jalan raya berhampiran tol Subang NKVE.

Sekitar jam 11 malam semalam, pasukan polis PJ menangkap tiga lelaki berusia antara 25 dan 33 yang dusuk berkumpul di sebuah dewan, pangsapuri PKNS di Kampung Lindungan.

Awal pagi tadi, dalam kejadian berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun dan wanita berusia 27 tahun semasa sekatan jalan di lebuh raya NPE menghala ke plaza tol PJS 2.

Mereka ditangkap pada kira-kira jam 2.35 pagi dan 4.05 pagi.

Sekitar 3.30 pagi, tiga lelaki berusia antara 18 dan 40 tahun yang dipercayai menunggang motosikal di Jalan PJU 1 / 41B di Ara Damansara tanpa sebarang tujuan juga ditahan.

Bagi kes tangkapan keenam, polis pada kira-kira jam 4 pagi, menahan lima lelaki berusia antara 21 dan 28 tahun, yang berkumpul di taman permainan di pangsapuri Desa Mentari.

Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau dihukum penjara tidak lebih daripada enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, polis menggesa orang ramai agar patuh kepada perintah kawalan pergerakan dan tidak mengambil remeh tentang perkara ini.

“Duduk di rumah dan keluar sekiranya ada keperluan mendesak,” katanya,

Menurut Kementerian Kesihatan, daerah Petaling diletakkan dalam zon merah selepas mencatatkan lebih daripada 96 kes.