Skip to main
Logo Malaysiakini

Terima kasih UAE, Malaysia balas 8 tan makanan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid memberitahu kerajaan Malaysia akan menghantar sumbangan makanan berjumlah lapan tan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pemberian itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada UAE yang memberi  kit ujian kepada Malaysia yang berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

“UAE menderma kepada kita kit ujian Covid-19, dan kita balas hantaran mereka itu dengan barang-barang makanan kita.

“[...] (Ia) sebagai sebagai tanda terima kasih kita kepada UAE yang sanggup nak beri kepada kita kit ujian.

“Hari ni kita mula muatkan (loading) untuk dihantar,” katanya hari ini selepas meninjau pemuatan makanan untuk diagihkan di pusat pengumpulan dan pengedaran makanan, Foodbank Malaysia di Bukit Angkat dekat Kajang, hari ini.

Kata Rosol, antara makanan yang dihantar ialah gula, sardin, kicap, roti dan sebagainya, namun keutamaan lebih diberikan buat makanan dalam tin.

Bagaimana, anggota Parlimen Hulu Terengganu itu tidak dapat memastikan jumlah kit ujian yang akan diterima, namun menyatakan ia sudah dihantar dan Malaysia akan menerimanya dalam masa terdekat, dijangka dalam minggu ini juga.

Kelmarin, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein memberitahu Wisma Putra ada membuat rundingan dengan UAE bagi mendapatkan bantuan peralatan perubatan dalam masa terdekat.

Rundingan itu dilakukan atas dasar hubungan akrab yang terjalin antara kedua-dua negara.

Bincang dua hala

Selain itu, mengulas mengenai kekurangan penutup hidung dan mulut dialami kini, Rosol menjelaskan bekalan bahan itu setakat ini masih mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, larangan eksport untuk bahan itu - seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini - menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeluar tempatan.

Katanya pengeluar terbabit menjangkakan mereka bakal berdepan masalah mendapatkan bekalan bahan mentah untuk menghasilkan penutup hidung dan mulut.

Hal itu, katanya, kerana pengeluar terbabit terikat dengan perjanjian dua hala yang memerlukan mereka menghantar produk tersebut sebagai balasan untuk bahan mentah yang dihantar.

Justeru, menurut Rosol, rundingan sedang dijalankan bagi mencari penyelesaian terbaik isu berkenaan.

“Kita berharap, walaupun tak boleh sepenuhnya diedar di sini, tapi sekurang-kurangnya separuh (penutup muka) yang dibuat di sini (dapat) diedar sini,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kerajaan sedang menunggu import penutup muka dari negara-negara luar seperti China yang dalam proses dibawa masuk.

Berkenaan isu harga siling bahan itu, katanya, perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

Rosol turut memberi amaran kepada penjual penutup hidung dan mulut bahawa tindakan tegas akan diambil buat mereka yang didapati mengambil kesempatan dalam pembekalan bahan itu.

KPDNHEP pagi tadi dilaporkan merampas 223,000 unit penutup hidung dan mulut bernilai RM446,000 yang disorok untuk dijual dengan harga lebih tinggi, di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Premis berkenaan didapati mahu menjual bahan itu secara tersembunyi kepada pelanggan dengan harga mencecah RM3.50 seunit.

Pada 20 Mac lalu, KPDNHEP membenarkan harga siling penutup hidung dan mulut dinaikkan kepada RM2 namun ia dibatalkan dua hari kemudian kerana dianggap terlalu tinggi.