Skip to main
Logo Malaysiakini

Nga sumbang gaji satu bulan untuk lawan Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengisytiharkan sumbangan daripada satu bulan gajinya sebagai ahli parlimen dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, anggota parlimen Teluk Intan itu berkata beliau juga akan mendermakan 5,000 penutup mulut dan hidung kepada jabatan kerajaan termasuk kakitangan Hospital Teluk Intan, pasukan keselamatan dan golongan asnaf yang memerlukan.

Nga berkata, semua pihak pihak wajib memberi sokongan padu serta kerjasama penuh kepada usaha Kementerian Kesihatan dalam menangani krisis kesihatan awam yang semakin serius ketika ini.

"Malaysia kini merupakan negara yang paling teruk dilanda wabak virus covid 19 di rantau Asia Tenggara dengan jumlah pesakit lebih 1,500 orang dan 21 orang pesakit telah meninggal dunia akibat wabak virus ini," katanya.

Nga juga merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota perubatan dan pasukan keselamatan yang berada di benteng hadapan dalam memastikan keselamatan rakyat di negara ini.

Sementara itu dalam satu kenyataan media, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau dan jemaah menteri akan menyumbang dua bulan daripada gaji mereka kepada Tabung Covid-19.

Muhyiddin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet semalam bagi membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membantu mereka yang terkesan akibat penularan wabak tersebut.