Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Jangan ulang, jawatankuasa indah-indah, pelaksanaan leceh sekali’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melancarkan pakej ransangan ekonomi menyeluruh bagi membantu rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19, selewat-lewatnya Jumaat ini.

Nasihatnya buat PN, jangan diulangi tindakan pentadbiran lalu yang menubuhkan menubuhkan begitu banyak jawatankuasa bagi menangani masalah rakyat, namun sangat leceh untuk dilaksanakan.

“Saya percaya kerajaan harus terima kenyataan ini dan tidak berlengah supaya paling akhir Jumaat ini kita ada satu rangsangan yang betul-betul menyeluruh.

“Jangan berulang masalah yang lalu, jawantankuasa banyak ditubuhkan, menteri-menteri dengan jawatankuasa yang bunyinya indah-indah, tapi pelaksanaannya sangat leceh sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman ucapan yang dimuat naik di Facebooknya tadi.

Antara jawatankuasa yang ditubuhkan bawah pentadbiran PH ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender Dan Pembangunan Keluarga, Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia Dan Hal Ehwal Perlembagaan dan lain-lain.

Malaysia kini berada dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mengarahkan semua rakyat duduk diam di rumah dan semua perniagaan diarahkan tutup, kecuali yang terlibat dalam perkhidmatan penting sahaja.

Hal ini menyebabkan ada sebahagian rakyat hilang punca pendapatan, terutamanya mereka yang berpendapatan harian dan mereka daripada golongan susah.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata akan mengumumkan pakej rangsangan baru pada Jumaat ini, yang lebih menyeluruh melibatkan semua pihak, dan menjamin bahawa “tiada sesiapa pun yang akan ditinggalkan”.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau mengumumkan beberapa inisiatif baru bagi meringankan beban rakyat, seperti penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat.

Dalam ucapan itu, anggota Parlimen Port Dickson itu turut menzahirkan pendapatnya bahawa usaha kerajaan bagi menangani masalah yang dihadapi rakyat ekoran Covid-19 dilihat “belum mengesankan”, terutamanya jika dipandang daripada beberapa aspek.

Antaranya, isu bayaran sewa kediaman yang baginya wajar diberikan penangguhan, serta supaya dikeluarkan arahan yang melarang penyewa diusir dari kediaman masing-masing jika sewa tidak dilunaskan dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau turut menggesa agar bayaran pinjaman kenderaan dimansuhkan.

Selain itu, Anwar turut mendesak kerajaan supaya bertegas dan tidak bertolak ansur dalam kes pembuangan pekerja dalam tempoh PKP ini yang akan menyebabkan masalah pengangguran yang lebih parah.

“Saya tak faham mengapa Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan kerajaan umumnya tidak memberi penekanan bahawa tidak boleh dibuang pekerja dan dibatalkan gaji mereka di peringkat sekarang, alasannya kerana keuntungan kecil.

“Ini adalah golongan korporat yang maha kaya, pendapatan keuntungan dicatat berbilion ringgit sebelum ini, kemudian ada sedikit krisis ekonomi dan kerugian, terus mereka menekan (dan) yang di bawah itu diusir dahulu.

“Ini bukan sistem yang harus kita pertahankan,” katanya lagi.

Namun, katanya, dia menyambut baik pengumuman bahawa gaji perdana menteri, menteri dan timbalan menteri akan dipotong sebanyak dua bulan gaji untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Tambahnya, anggota-anggota Parlimen PKR juga dikerahkan untuk turun memberi sumbangan di kawasan masing-masing semaksimum mungkin, terutamyan di kawasan miskin, meskipun berdepan pemotongan peruntukan di kawasan-kawasan pembangkang.

PKP yang berkuat kuasa sejak 18 Mac sepatutnya tamat 31 Mac nanti, namun dilanjutkan sehingga 14 April bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat dibendung dengan jayanya.

Setakat tengah hari tadi, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 2,031 kes Covid-19 dan 23 kematian.

Kes yang baru dicatatkan adalah sebanyak 235 kes, manakala 45 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).