Skip to main
Logo Malaysiakini

Gambar palsu sumbangan makanan - Ketua kampung lapor polis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang ketua kampung di Sabah memaklumkan akan membuat laporan polis hari ini berhubung satu gambar palsu yang menunjukkan kerajaan negeri mengagihkan makanan kepada penduduk kampung sebagai bantuan Covid-19.

Menurut pegawai daerah Nabawan, Virus Malitam, ada pihak yang sengaja memuat naik gambar palsu di media sosial yang memaparkan bantuan makanan dalam bentuk sedikit beras, mi segera, sebungkus biskut dan satu tin sardin kecil yang diiisi dalam besen.

Ini kata Virus dibuat untuk mencemarkan imej kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Virus mengesahkan satu lagi gambar yang memaparkan satu pasukan sedang menyediakan bantuan makanan untuk penduduk kampung sebagai tulen.

“Yang dalam pinggan (besen) itu tak betul, mereka sengaja sebar. Ketua kampung akan buat laporan polis esok,” kata Virus seperti dipetik portal The Borneo Post.

Menurut beliau, matlamat asal hanya untuk mengedarkan bantuan tersebut kepada golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, kata Virus lagi setiap penduduk akan menerima bahagian kecil agihan tanpa mengira sama ada mereka miskin atau tidak.

"Memang itulah adat orang Murut, kita kena hormat. Setiap orang mendapat ‘tinauh’ masing-masing, tak ada yang ditinggalkan, jadi (akan ada) yang nampak macam (menerima) sangat sedikit, tapi itulah amalan di sini.

“Niat kita bukan nak beri semua. Kita nak bagi mereka yang betul-betul memerlukan dahulu, dan yang lain-lain itu akan dapat (bahagian mereka) kemudian,” katanya lagi.

Virus turut menjelaskan pusat arahan Covid-19 telah dibuka di pejabat daerah bagi memudahkan keperluan penduduk sentiasa diawasi, justeru setiap bantuan yang diterima akan diberikan kepada Nabawan, Pagalungan dan Pensiangan.

“Macam baru-baru ini, derma dari kerajaan negeri melalui (Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah) Peter Anthony buat mereka yang memerlukan, dalam bentuk beras, biskut, mi segera, sardin, gula, garam dan minyak masak telah diagihkan.

“Itu bantuan fasa pertama dan selepas ini kita pasti menerima lebih banyak lagi untuk diagihkan kepada orang-orang yang memerlukan,” katanya.

Kata Virus juga, selain bantuan dari kerajaan, sektor swasta seperti firma perladangan akan turut menyumbang bantuan makanan secara langsung kepada orang Nabawan yang memerlukan, tanpa perlu melalui pejabat daerah.

Tambahnya, terdapat 135 kampung di Nabawan, Pamuntarian, Pensiangan, Sapulut, Pagalungan dan Tatalaan.

[Baca berita asal]