Skip to main
Logo Malaysiakini

Bagaimana krisis koronavirus jejaskan bekalan makanan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL l Seperti bahagian lain ekonomi global, rantaian bekalan makanan telah terganggu akibat pandemik koronavirus dan makanan yang kosong di pasar raya telah menjadi simbol krisis itu.

Adakah kita berdepan dengan kekurangan makanan?

Pembelian panik di sesetengah negara telah menyebabkan beberapa bekalan makanan runcit seperti pasta dan tepung habis dijual di pasar raya dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Menurut perunci, mereka mampu menambah kebanyakan produk sementara firma roti dan pasta di Eropah dan Amerika Utara telah menambahkan pengeluaran.

Firma-firma makanan berkata, pembelian panik akan menyusut apabila orang ramai telah menyimpan makanan dan menyesuaikan diri dengan kehidpan harian di rumah.

Walau bagaimanapun, masih ada pembeli yang belum membiasakan diri dengan kekurangan pilihan atau penawaran makanan tempatan yang kurang.

Logistik yang terganggu akibat sempadan yang ditutup yang diburukkan lagi dengan tenaga kerja yang berkurangan menyaksikan bekalan biasa, terutamanya produk segar sukar didapati.

Adakah makanan akan menjadi lebih mahal?

Harga komoditi pertanian tidak menentu kerana peniaga bertindak balas terhadap kesan spesifik bagi sektor mereka serta juga dipengaruhi oleh langkah dramatik dalam harga saham dan minyak.

Niaga hadapan gandum melonjak minggu lalu kepada paras tertinggi dua bulan, sebahagiannya disebabkan oleh kenaikan permintaan untuk barangan roti dan pasta, sementara jagung pula jatuh ke tahap rendah kerana penggunaannya yang luas dalam biofuel yang terdedah kepada kejatuhan harga minyak.

Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa sebarang langkah tergesa-gesa oleh pengimport untuk membeli bekalan akan mencetuskan inflasi makanan global, walaupun terdapat rizab yang cukup besar untuk tanaman ruji.

Kenaikkan di pasaran komoditi tidak semestinya memberi kesan pada harga barangan runcit, kerana firma makanan lazimnya membeli bahan mentah lebih awal. Sesetengah negara miskin juga mempunyai program makanan bersubsidi yang menjamin kestabilan harga.

Hasil makanan segar seperti buah-buahan atau ikan, bagaimanapun, lebih banyak bergantung kepada penawaran dan permintaan secara langsung.

Adakah makanan mencukupi jika krisis berterusan?

Penganalisis berkata bekalan global tanaman makanan yang paling banyak digunakan adalah mencukupi. Bekalan gandum global dijangkakan pada paras rekod pada tahun hadapan.

Kerajaan telah memberi keutamaan kepada bekalan makanan sebagai sebahagian daripada langkah-langkah kecemasan dan kumpulan ekonomi utama G20 komited untuk memastikan aliran-aliran pertanian pertanian antarabangsa sebagai sebahagian daripada respons mereka terhadap krisis koronavirus.

- Reuters

[Baca berita penuh]