Skip to main
Logo Malaysiakini

Lembah Pantai, Hulu Langat, PJ senarai teratas zon merah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sebanyak 15 kawasan atau daerah di Malaysia telah diklasifikasi sebagai zon merah selepas merekodkan lebih 41 kes positif Covid-19 setakat tengah hari semalam.

Lembah Pantai di Kuala Lumpur mempunyai kes tertinggi dengan 208 kes positif Covid-19 bersamaan 10.24 peratus daripada keseluruhan 2,031 kes di seluruh negara.

Sejak tengah hari Rabu, Lembah Pantai menyaksikan kenaikan mendadak sebanyak 41 kes dalam tempoh 24 jam.

Ini diikuti oleh Hulu Langat di Selangor dengan peningkatan sebanyak 64 kes menjadi 196 kes semalam, menurut carta yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan dalam media sosial hari ini.

Petaling Jaya di Selangor menduduki tempat ketiga dengan 176 kes positif Covid-19 sehingga tengah hari semalam.

Kawasan-kawasan lain dengan jumlah kes Covid-19 yang banyak ialah Seremban (85), Kluang (83), Johor Bharu (73), Kinta (56), Kota Bharu (55), Gombak (54), Hilir Perak (52) (52), Tawau (50), Titiwangsa (49), Kepong (45) dan Klang (44).

Kementerian Kesihatan pada hantaran di media sosial mengingatkan orang ramai di kawasan-kawasan ini untuk mengambil langkah pencegahan dengan tinggal di rumah untuk mengurangkan rantaian penyebaran Covid.

"Tinggal di rumah untuk diri kamu sendiri, untuk ibu bapa, untuk datuk nenek dan anak-anak," katanya melalui Facebook.

Malam tadi, kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan yang lebih ketat sehingga 9 April di dua kawasan petempatan di Simpang Renggam di daerah Kluang berikutan kenaikan dalam kes Covid.

Kluang mencatatkan 83 kes pada tengah hari semalam, 61 kes datang dari Kampung Dato 'Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Zon merah Covid adalah istilah di mana sebuah daerah atau kawasan mencatatkan lebih daripada 41 kes dan menjadi penanda bagi kerajaan merancang langkah untuk membendung wabak Covid.

Zon jingga (oren) pula merujuk daerah yang mencatatkan kes positif Covid antara 20 dan 40, manakala zon putih merujuk kes di bawah 20..

Sementara itu, zon hijau pula menandakan kawasan itu telah bebas Covid-19.

Pada 24 Mac, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk kawasan zon merah Covid.