Skip to main
Logo Malaysiakini

Projek mega diteruskan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa beberapa projek projek mega akan terus dilaksanakan di bawah pakej rangsangan ekonomi RM250 bilion yang diumumkan kerajaan.

"Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, MRT2 serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara.

"Usaha ini selaras dengan fokus kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (Prihatin) yang disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen.

Pakej ransangan ekonomi itu dirangka bagi mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi negara ekoran penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pakej Prihatin merupakan manifestasi kerajaan yang mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar ini.

"Strategi dan langkah yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi," jelas Muhyiddin.

Katanya lagi, kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi.

Jelas beliau, hampir kesemua langkah yang diambil adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana.

"Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan," katanya.