Dah puluh tahun niaga, ini paling sukar, keluh Mek Jah
Kota Bharu antara lokasi yang diklasifikasikan sebagai zon merah wabak Covid-19 dan ia pastinya menjejaskan urusan seharian warganya termasuk aktiviti perniagaan.
Malah, situasi itu juga mendorong pihak berkuasa memperketatkan lagi kawalan jalan keluar masuk ke ibu negeri Kelantan itu.
Bagi peniaga pasar besar Siti Khatijah di Kota Bharu, Mek Jah Ismail sepanjang puluhan tahun, mencari sumber rezeki di situ, penularan wabak Covid-19 menjadi detik yang paling mencabar buat mereka.
"Nak dapatkan bekalan perniagaan pun agak sukar sebab PKP yang dilaksanakan ketika ini.
"Bahkan orang yang meniaga pun tak ramai begitu juga dengan mereka yang ambil upah menghantar barang, jadi agak sukar sedikit.
"Sepanjang puluhan tahun berniaga, ini adalah situasi yang agak sukar kami lalui," katanya.
Mek Jah juga berkata keputusan untuk duduk di rumah diambil selepas kerajaan melanjutkan PKP kepada 14 April.
Katanya, apatah lagi selaku warga emas pergerakan mereka sedikit terbatas untuk melakukan urusniaga dalam keadaan begini.
Sementara itu, pasangan Mek Jah, Hamat Ismail (gambar, atas) pula mengakui penularan wabak itu memberi kesan kepada perniagaan mereka.
"Urusan perniagaan sememangnya cukup terjejas pada ketika ini, dan orang ramai juga takut untuk masuk ke pasar.
"Apatah lagi dengan keputusan kerajaan memperketatkan lagi kawalan orang ramai untuk masuk ke Kota Bharu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Jelas Hamat lagi, dia mengambil keputusan untuk tidak menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).
Hamat telah menjalankan aktiviti perniagaan di Pasar Siti Khatijah lebih puluhan tahun berniaga barangan keperluan harian termasuk beras.
Katanya, pada hari biasa dia memulakan perniagaan seawal jam 7 pagi dan berakhir sehingga lewat petang.
Namun, kini perniagaan di pasar itu dihentikan lebih awal selain kedatangan pelanggan yang agak berkurangan.
Oleh itu pasangan suami isteri itu mengambil keputusan untuk berehat dan menguruskan rutin harian di rumahnya di Kampung Kuchelong, Bachok sepanjang PKP.
Dua hari lalu, Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan mengakui belum berpuas hati dengan tahap kepatuhan orang awam khususnya di kawasan bandar Kota Bharu.
Katanya, melihat kepada jumlah kenderaan yang masih banyak sehingga hari ini menunjukkan seolah-olah sekatan yang dilakukan pihak polis tidak memberi kesan kepada masyarakat.
"Justeru, berkuat kuasa hari ini, kita mengambil pendekatan lebih tegas terutama di Kota Bharu iaitu hanya membenarkan mereka yang mempunyai urusan betul-betul penting sahaja termasuk yang bekerja dibenarkan masuk ke bandar.
"Mereka yang menggunakan alasan tidak konkrit termasuk hanya keluar untuk membayar bil elektrik, akan diminta pulang semula.
"Kita akui tindakan yang diambil akan mendatangkan kemarahan di kalangan masyarakat, namun kami terpaksa melakukannya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di sekatan jalan raya, di Kota Bharu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai