Skip to main
Logo Malaysiakini

Pusat tahfiz anjur kelas bahasa Arab percuma dalam talian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara sehingga 14 April ini, banyak pihak menggunakan medan media sosial untuk berkongsi ilmu pengetahuan yang dapat memanfaatkan orang ramai.

Pusat tahfiz Madrasah Al Quran Wal Arabiyyah (Mawar) di Tasek Gelugor di Pulau Pinang adalah antara yang menawarkan perkongsian menerusi laman sosial Facebook dengan menawarkan pengajaran bahasa Arab secara percuma kepada orang ramai.

Pemilik pusat tahfiz itu Ahmad Fahmi Abu Bakar berkata beliau mula mengajar bahasa Arab secara langsung menerusi akaun Facebook 'Madrasah Al Quran Wal Arabiyyah' itu sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

"Pada mulanya, kelas bahasa Arab ini hanya untuk 100 pelajar tahfiz saya namun, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang turut mengikuti kelas ini. Facebook ‘live’ kelas bahasa Arab ini diadakan setiap hari dari 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.

"Setiap hari lebih 1,000 pengguna Facebook mengikuti kelas saya dan sesi pembelajaran itu dijalankan secara dua hala iaitu saya akan menjawab persoalan daripada mereka menerusi siaran langsung tersebut," katanya kepada Bernama di Tasek Gelugor.

Ahmad Fahmi berkata beliau mengajar asas bahasa Arab supaya mereka yang tidak pernah belajar bahasa itu dapat mengikutinya dengan sekurang-kurangnya 10 perkataan baharu diajar pada setiap sesi.

"Jika hingga 14 April (PKP dilaksanakan), mereka yang mengikuti kelas bahasa Arab saya akan mempelajari 300 perkataan dan mungkin sudah boleh bertutur bahasa al-Quran ini...inilah matlamat saya," katanya.

Beliau juga berharap menerusi kelas bahasa Arab dalam talian itu, masyarakat terutama murid-murid pusat tahfiz berkenaan dapat mengisi masa lapang dengan program yang berfaedah dan pada masa yang sama dapat menambah ilmu.

"Bagi kelas subjek lain, guru-guru di pusat tahfiz ini memang menyediakan kelas dalam talian secara eksklusif kepada murid-murid kami terutamanya mereka yang akan menduduki peperiksaan tahun ini,” katanya.

Beliau berharap masyarakat dapat memanfaatkan tempoh PKP itu dengan aktiviti berfaedah serta menambah ilmu dunia dan akhirat.

- Bernama