Skip to main
Logo Malaysiakini

Abim: Pakej rangsangan ekonomi perlu dibahas terbuka bagi pastikan akauntabiliti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyarankan agar Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam dibahaskan secara terbuka bagi memastikan wujud mekanisme kebertanggungjawaban dan akauntabiliti dalam pelaksanaannya.

"Bagi memastikan manfaat yang digariskan untuk rakyat benar-benar tercapai, Abim menggesa sistem penyampaian dilakukan dengan cekap dan telus bagi memastikan tiada ketirisan berlaku supaya tiada rakyat yang tertinggal dari memperoleh manfaat.

"Maka, adalah satu keperluan untuk pakej yang menelan jumlah kecairan simpanan negara yang amat besar ini dibahaskan secara terbuka bagi memastikan wujud mekanisme kebertanggungjawaban dan akauntabiliti dalam pelaksanaannya," kata presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan media hari ini.

Abim juga menegaskan bahawa mana-mana pemimpin sesebuah negara sememangnya bertanggungjawab menunaikan amanah untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion ekoran dari penularan wabak Covid-19 yang telah menjejaskan aktiviti perekonomian rakyat yang memberikan kesan kepada ekonomi negara pada kerangka makronya.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Sementara itu, Abim juga menggesa kerajaan membentangkan pelan rangsangan ekonomi yang bersifat jangka panjang untuk melindungi kepentingan rakyat sekiranya penularan wabak ini berlarutan untuk tempoh di luar jangkaan.

"Ini memandangkan banyak analisis telah menyatakan bahawa Covid-19 akan meninggalkan kesan negatif yang sangat mendalam terhadap ekonomi sejagat.

"Abim juga ingin menyarankan agar rakyat untuk berhemah dalam berbelanja memandangkan situasa sukar kini masih belum ada tanda-tanda berakhir dalam masa terdekat di samping mematuhi langkah-langkah pencegahan yang dikemukakan pihak berkuasa," katanya.

Sidang khas parlimen

Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Muhyiddin mengadakan sidang Dewan Rakyat tergempar selama dua hari untuk membahaskan pakej ekonomi itu.

"Penting dan mustahak agar Muhyiddin harus diingatkan bahawa Malaysia masih merupakan demokrasi parlimen. Beliau harus mengadakan sidang parlimen tergempar selama dua hari untuk meluluskan pakej rangsangan ekonominya supaya ia akan mempunyai kredibiliti dan legitimasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut mengingatkan bahawa sidang Dewan Rakyat itu hanya memberi keutamaan terhadap perdebatan untuk meluluskan RM250 bil pakej rangsangan ekonomi.

"Seharusnya tidak ada urusan lain, sama ada sesi soal jawab, usul 'tidak percaya' terhadap Perdana Menteri, pemilihan untuk Speaker baru atau perkara lain.

"Perbahasan juga akan membolehkan wakil rakyat menyampaikan pandangan berkenaan dengan perang melawan Covid-19 yang telah menjejaskan tiga perkara utama iaitu kesihatan, ekonomi dan maklumat awam di Malaysia,"  katanya lagi.