Skip to main
Logo Malaysiakini

Gelandangan di P Pinang dipindah ke pusat perlindungan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan Pulau Pinang memindahkan gelandangan di negeri itu terutama mereka yang berada di perkarangan Komtar ke Kompleks Masyarakat Penyayang di George Town agar mereka lebih selamat ketika negara berusaha membendung wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, 72 gelandangan sudah dipindahkan sejak semalam.

"Setiap gelandangan yang diselamatkan akan disaring kesihatan terlebih dahulu supaya tiada yang dijangkiti Covid-19. Pihak NGO akan menyediakan makanan di kompleks itu," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Phee turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung peruntukan berjumlah RM25 juta untuk bantuan makanan, penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan kepada rumah perlindungan, pusat bantuan serta gelandangan melalui kerjasama dengan NGO dan usahawan sosial.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan Komtar mendapati gelandangan turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjarakkan diri masing-masing dan sebahagiannya mendakwa sering menerima makanan daripada individu atau NGO, namun sukar mencari penutup mulut dan hidung kerana ketiadaan wang.

Seorang lelaki mahu dikenali sebagai Teoh, 50-an, berkata dia sudah bergelandangan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac hingga 14 April kerana tiada tempat hendak berteduh dan tinggal di kaki lima Komtar bersama gelandangan lain pada sebelah malam, namun pada siang dia mencari kerja.

"Sejak PKP memang tiada kerja. Kedai makanan tempat saya bekerja sebagai pencuci pinggan juga tutup dan sekarang ini kami bergantung kepada NGO untuk makan. Jika dipindahkan ke dewan, saya memang bersetuju kerana sejak penularan Covid-19 ini ada juga rasa bimbang takut dijangkiti," katanya.

-Bernama