Jaring: Peruntukan pada persatuan nelayan perlu pemantauan ketat
Badan bukan kerajaan (NGO) bimbang penyaluran bantuan yang diumumkan kerajaan melalui persatuan-persatuan nelayan kawasan akan membuka ruang kepada penyelewengan dan ketirisan.
Setiausaha Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) Azrilnizam Omar berkata secara keseluruhan pihaknya menyambut baik pakej rangsangan ekonomi semalam.
"Walau bagaimanapun, Jaring berpendapat bantuan yang ingin disalurkan melalui persatuan-persatuan nelayan kawasan yang berjumlah antara RM100,000 ke RM 200,000 akan membuka ruang kepada ketirisan dan penyelewengan berdasarkan pemerhatian pihak Jaring sebelum ini.
"Sehubungan itu Jaring menggesa agar pihak kerajaan melaksanaan pemantauan ketat khususnya oleh pihak SPRM semasa pelaksanaan pakej tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat.
Beliau menegaskan bahawa pakej rangsangan yang peduli rakyat itu akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban semua dengan tiada golongan yang akan tercicir.
Bagi menangani impak Covid-19 dan membantu rakyat dan sektor yang terkesan dengan penularan wabak itu, hampir RM128 bilion disalur untuk melindungi kebajikan rakyat.
RM100 bilion pula untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
Muhyiddin turut mengumumkan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan Program Subsidi Upah.
Sehubungan itu kata Azrilnizam, pihaknya menggesa agar kerajaan melaksanaan pemantauan ketat khususnya melibatkan Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pelaksanaan pakej itu.
Dalam pada itu, Jaring berkata pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu telah memberi kesan negatif kepada sektor perikanan negara khususnya nelayan pantai.
Menyambut baik pelaksanaan PKP, namun katanya ia secara tidak langsung mewujudkan kepincangan dalam rantaian bekalan industri perikanan negara yang mengakibatkan pendapatan dan kehidupan lomuniti nelayan pantai terjejas.
"Walaupun PKP membenarkan nelayan turun ke laut (beroperasi) bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terputus dan keselamatan makanan (food security) negara terjamin namun hasil tangkapan nelayan khususnya nelayan pantai tidak dapat dijual.
"Peraih (orang tengah) tidak lagi membeli hasil tangkapan apabila sebahagian pasar ditutup manakala yang beroperasi pula telah dihadkan masa operasi.
"Sebahagian besar nelayan pantai masih (terpaksa) bergantung kepada peraih," katanya.
Justeru, Jaring menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengambil langkah segera bagi memperbaiki kepincangan yang wujud dalam rantaian bekalan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai