Skip to main
Logo Malaysiakini

Kolej kimpalan bantu pelajar terkandas kerana PKP

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengurusan kolej Master Weld Academy di Puchong, Selangor tampil membantu 240 pelajarnya yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

Menurut ketua fakulti, Mohd Lokman Hamzah, pihaknya berusaha memberikan bantuan keperluan asas yang secukupnya kepada pelajar sepanjang tempoh PKP berlangsung.

“Setakat ini, kita dah bantu hampir 100 orang pelajar. Namun, 95 peratus pelajar kami adalah dari Sabah dan Sarawak.

“Jadi, kami perlukan lebih banyak bantuan dan sedang cuba untuk mengusahakan bantuan daripada agensi luar,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lokman berkata fokus bantuan ini buat masa ini hanya kepada pelajar yang tidak mendapat sebarang elaun.

“Elaun sara hidup yang diberikan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ini adalah sebanyak RM400 untuk sebulan.

“Tetapi pelajar-pelajar ini tidak mendapat elaun ini kerana permohonan belum diluluskan dan ada juga yang akan menamatkan tempoh kursus pada hujung bulan ini,” tambahnya lagi.

Sementara itu, salah seorang pelajar kolej kimpalan itu, Tenis David berkata dia dan rakan-rakannya yang berasal dari Sarawak sebelum ini makan hanya untuk alas perut.

“Sebelum pihak kolej memberikan bantuan pada 25 Mac lalu, kami hanya mengharapkan wang yang diberikan rakan-rakan Sarawak yang bekerja di sini.

“Kadangkala jika ada pelawat yang datang mereka akan berikan bahan masakan lain seperti sayur,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

David turut berkata dia tidak menyalahkan pihak kolej dengan keadaan sekarang, namun menyatakan kegusaran kerana permohonan elaunnya belum diluluskan lagi.

Dia juga berharap bantuan akan terus disalurkan buat dia dan rakan-rakannya dalam tempoh PKP yang kini dilanjutkan sehingga 14 April.