Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa k'jaan beri pengampunan sementara pada PATI

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beberapa NGO hari ini meminta kerajaan memberikan pengampunan dan pemberhentian sementara tangkapan terhadap pendatang asing tanpa izin, agar mereka tidak takut untuk ke hospital dan membuat pemeriksaan Covid-19.

Gesaan itu disuarakan NGO Tenaganita, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Concerned Lawyers for Justice dan Eliminating Death and Abuse in Custody Together (Edict).

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata menerima maklumat masih ramai pekerja asing yang tidak memiliki dokumen ditahan pihak berkuasa sepanjang minggu lalu, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Kami maklum bahawa laporan berita ada yang menyebut bahawa sebahagian pekerja asing telah pun menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kami juga ada mendapat maklumat bahawa terdapat ramai pekerja asing telah ditahan oleh pihak berkuasa sepanjang minggu lalu,” kata mereka.

Mereka berkata, pendatang asing yang tidak memiliki dokumen tertakluk di bawah undang-undang Imigresen Malaysia.

Jika pengampunan sementara tidak diberikan, kata mereka lagi, lokap polis dan pusat tahanan Imigresen berisiko menjadi kluster baru jangkitan Covid-19, jika pendatan asing yang ditangkap tidak menjalani pemeriksaan terlebih dulu.

"Kesemua penjawat awam yang bersentuhan dengan para tahanan juga terdedah kepada virus," kata mereka lagi.

Kerajaan sebelum ini telah memberi jaminan bahawa pendatang asing tanpa izin yang membuat pemeriksaan Covid-19 tidak akan ditangkap, tetapi ia untuk mereka yang menyertai perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur sahaja.

Jaminan itu diberikan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang berkata fokus adalah untuk memastikan warga asing yang berada di Malaysia bebas dari ancaman wabak tersebut.

Selain itu, NGO berkenaan turut menyuarakan kekhuatiran dengan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa pekerja asing perlu membayar kos ujian dan rawatan wabak tersebut di hospital.

“Ini sudah tentu akan menyebabkan para pekerja untuk mengelak daripada dikesan dan tidak mahu dirawat

“Kami khuatir bila pengumuman perdana menteri tersebut akan menyebabkan wujudnya kes-kes tidak dapat dikesan sekaligus menyebabkan penyebaran Covid-19 tidak dapat dikawal,” kata mereka lagi.

Ia bertentangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa ujian pengesanan Covid-19 adalah percuma, termasuk untuk warga asing.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 2,320 kes positif bagi wabak Covid-19 dengan 27 jumlah kematian. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.