Skip to main
Logo Malaysiakini

Doktor bersama bayi 9 bulan maut kemalangan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang doktor yang berkhidmat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan bayinya berusia sembilan bulan maut selepas van kesihatan yang mereka naiki terbabas di Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala, Kampung Renok Baru, di Gua Musang, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 9.50 pagi itu, mangsa Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulhilmi meninggal dunia di Hospital Gua Musang pada jam 11.02 pagi.

Kemalangan itu turut mencederakan tujuh individu lain iaitu Mohd Lazim Abdullah, 56; Dr Siti Salwa Mohamad Shokri; 38, Syahirah Muhamad Razali, 20; Dr Norazma Mohamad, 34; Dr Linda Laili Ibrahim Shukri, 29; Dr Suzuanhafizan Omar, 32 dan Dr Hazirah Sazali, 33.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kejadian.

Saat bertugas rawatan Covid-19

Menurutnya, kemalangan itu berlaku ketika mereka menaiki van Toyota Hiace dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang bagi menjalankan tugas rawatan Covid-19.

"Sebaik sampai ke lokasi, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum seorang mangsa yang tercampak keluar dari van itu.

"Dr Nooranisah meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan di kepala dan badan.

"Anaknya, Mohammad Fitri Yusof meninggal dunia jam 11.02 di Hospital Gua Musang kerana kecederaan dalaman.

"Arwah Dr Nooranisah membawa anaknya kerana baru ditugaskan memberi bantuan di Hospital Gua Musang bagi satu jangka masa tertentu.

"Tujuh individu yang cedera juga bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan kini menerima rawatan di HGM, dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Tambah Mohd Taufik, jenazah dua beranak itu dihantar ke bilik forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

"Saya bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan rasa sedih dan takziah atas kejadian itu," katanya. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.