Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kita belum kuasai perang, jangan bersikap acuh tak acuh'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa menyeru rakyat Malaysia supaya mengehadkan pergerakan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Menyifatkan keadaan Malaysia masih belum cukup kuat untuk melawan wabak tersebut, Annuar berkata orang ramai tidak seharusnya bersikap acuh tak acuh terhadap arahan PKP dari kerajaan.

Jelasnya, ini susulan laporan pihak berkuasa yang mendapati jumlah kenderaan di ibu kota kembali meningkat.

“Kita masih belum menguasai perang (wabak Covid-19) ini, jadi rakyat tidak boleh ambil sikap acuh tak acuh terhadap larangan PKP.

“Saya diberi laporan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia), jumlah kenderaan di KL sudah meningkat semula dan masih ada (rakyat) yang bawa bayi untuk bersiar-siar.

“Saya ambil kesempatan untuk merayu semua warga kota, warga wilayah umumnya, patuhilah PKP dan arahan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya menerusi siaran langsung di akaun Facebook kementerian tersebut.

Untuk rekod, kerajaan telah melaksanakan arahan PKP bermula 18 Mac lalu dan kini disambung sehingga 14 April.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan  perkhidmatan penting.

Orang ramai juga digesa duduk di rumah dan mengehadkan aktiviti di luar. 

Sementara itu, Annuar – yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh- mendedahkan beberapa kawasan yang dikenali sebagai kawasan zon merah di Wilayah Persekutuan.

“[…] paling tinggi di Masjid Sri Petaling, yang kedua di Kampung Baru dan ketiga di kawasan rumah saya sendiri di Bukit Damansara.

“Saya berharap secara individu kita cuba patuhi sepenuhnya arahan kerajaan dan dari pihak kementerian wilayan akan mengambil langkah dari semasa ke semasa.

Kata Annuar lagi, sekatan jalan raya akan diperketatkan kepada beberapa kawasan tertentu di Kuala Lumpur bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 2320 kes positif bagi wabak Covid-19 dengan 27 jumlah kematian.