Skip to main
Logo Malaysiakini

Penafian berita palsu: Tiada kawasan di S'gor, KL dikenakan PKP diperketatkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan khabar angin bahawa beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Dalam kenyataan hari ini, kementerian tersebut berkata MKN menafikan perkara itu, yang kononnya disebut oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu Ismail mengadakan sidang media berkenaan kawalan dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pasukan Respon Pantas turut berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan satu lagi khabar angin, iaitu dakwaan bahawa Kampung Pandan, Desa Pandan dan Taman Maluri telah menjadi kawasan ‘zon merah’.

Khabar angin itu mendakwa kawasan tersebut menjadi "zon merah" ekoran seorang warga asing yang positif Covid-19.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak- menerusi Pasukan Respon Pantas- turut menafikan kenyataan oleh seorang yang mendakwa diarah oleh "Datuk Temenggong" untuk mendapatkan maklumat peribadi penduduk Kampung No 3 di Kuching dan kawasan sekitar, yang dikatakan untuk keperluan mesyuarat bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas.

Pasukan Respon Pantas turut menafikan khabar angin bahawa kampung itu, bersama-sama Kampung 4 dan Kampung 6, mungkin dikenakan perintah berkurung.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Pasukan Respon Pantas mengeluarkan kenyataan menafikan beberapa dakwaan tular hari ini.