Pastikan dana PTPTN cukup - MP Kulai
Kerajaan perlu menjelaskan pendekatan bagi memastikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai pinjaman kepada peminjam baru dan sedia ada.
Kata anggota parlimen Kulai Teo Nie Ching, penjelasan itu perlu dibuat sekiranya kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk membantu PTPTN melaksanakan pinjaman secara bersindiket dengan institusi kewangan atau menerbitkan program sukuk berjaminan dalam waktu terdekat.
Kebimbangan itu disuarakan Teo susulan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh kerajaan bagi membantu rakyat berhadapan dengan beban kewangan kesan daripada wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Salah satu inisiatif yang diumumkan untuk membantu golonga muda semasa krisis Covid-19 ini adalah lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN melibatkan kutipan berjumlah RM750 juta.
“Secara prinsip, saya menyokong inisiatif ini.
“Walau bagaimanapun, persediaan yang mencukupi dan perancangan yang teliti adalah amat diperlukan untuk memastikan bahawa kedudukan kewangan PTPTN dan juga bakal peminjam baharu tidak terjejas,” kata bekas timbalan menteri pendidikan itu dalam satu kenyataan.
Katanya, secara purata, PTPTN perlu menyediakan peruntukan sebanyak RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun untuk membiayai pinjaman kepada 180,000 orang peminjam baharu dan 420,000 orang peminjam sedia ada.
“Pinjaman atau sukuk dari institusi kewangan merupakan sumber kewangan utama PTPTN.
“Setakat 2019, geran dari Kerajaan Persekutuan adalah RM5.295 bilion, yang telah disalurkan pada 1997 hingga 2002.
“Sejak 2003, tiap-tiap tahun PTPTN mengumpul dana melalui pinjaman atau sukuk,” katanya lagi.
Tambah Teo, setakat 2019, jumlah keseluruhan dana pinjaman jangka panjang PTPTN adalah RM54.2 bilion manakala jumlah yang telah dibayar pula adalah sebanyak RM16.9 bilion.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai