Skip to main
Logo Malaysiakini

Perak tambah inisiatif bantuan kepada rakyat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 2,600 pekerja am di Perak terdiri antaranya pengutip sampah, pemotong rumput dan pegawai penguatkuasa yang bertugas sepanjang penularan wabak Covid-19 akan menerima bantuan RM300 seorang mulai 1 April ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bayaran yang akan dibuat sebanyak tiga kali dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM780,000 itu sebagai mengiktiraf wira tidak didendang itu.

Selain itu, bantuan elaun khas sekali bayar berjumlah RM500 seorang akan diberikan kepada 986 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dengan peruntukan berjumlah RM493,000.

"Ini antara inisiatif dalam meringankan impak aktiviti ekonomi dan sosial susulan penularan wabak Covid-19 di negeri ini," katanya dalam Perutusan Khas Menteri Besar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, RM1.6 juta juga diluluskan untuk mengedarkan kotak makanan kepada lebih 26,000 keluarga termasuk 13,000 daripada masyarakat Orang Asli yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata bantuan makanan dan keperluan yang sebelum ini diberikan kepada petugas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kini diperluaskan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melibatkan 7,150 petugas dengan kos hampir RM2.5 juta.

Bagi meringankan beban khususnya peniaga, Ahmad Faizal mengumumkan penangguhan bayaran sewa Skim Pertapakan Kemudahan Asas dan Rancangan Perumahan Awam daripada tiga bulan kepada enam bulan mulai bulan ini.

"Pengecualian bayaran sewa Program Perumahan Rakyat turut dilanjutkan selama enam bulan bermula Mac 2020 kepada 2,535 penerima dengan kos RM1.5 juta," katanya.

Kerajaan negeri juga akan memberi RM500 dalam bentuk sekali bayar kepada 12,413 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT selain pengecualian sewa gerai PBT selama tiga bulan yang akan memanfaatkan 9,841 penyewa.

Semua 59 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah menerima peruntukan RM20,000 untuk membantu rakyat terjejas di kawasan masing-masing akan menerima tambahan RM20,000 lagi tanpa mengira latar belakang parti.

Sementara itu, beliau berkata bagi membantu JKN memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19, dua stesen kuarantin telah dibuka iaitu di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan dan Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai.

Menurut Ahmad Faizal, RM651,000 diperuntukkan bagi pembelian pelbagai kelengkapan dan peralatan serta makan minum di kedua-dua stesen itu yang mampu menampung sehingga 240 orang.

- Bernama