Skip to main
Logo Malaysiakini

5 peminjam PTPTN tarik balik saman pada PH

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), lima peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini berhasrat menarik balik saman mereka terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelumnya.

Sebelum pentadbiran PN sekarang, lima individu itu menyaman PH dan dua pihak lain atas dakwaan tidak menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berhubung penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

Kerajaan PN dibentuk selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu meninggalkan PH untuk menubuhkan kerajaan bersama BN, PAS dan GPS.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam kepada lima individu berkenaan, Adnan Seman mengesahkan bahawa anak guamnya mengeluarkan arahan menarik balik saman itu beberapa hari selepas pembentukan pentadbiran PN.

"Kami (peguam) telah diberi arahan (menarik tuntutan itu) kerana kerajaan telah bertukar," katanya.

Adnan bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak dapat menarik balik tindakan undang-undang itu secara rasmi setakat ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

"Kami belum dapat memaklumkan (mahkamah) lagi. Sekarang kita sedang menunggu untuk tempoh PKP berakhir (sebelum hadir ke mahkamah untuk menarik balik saman itu," kata Adnan.

Pada 22 Okt tahun lepas, lima peminjam PTPTN - Andry Putra Haris, 29, Farah Athirah Kamarozaman, 28, Mohamad Asrol Md Jailani, 27, Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 27, dan Mohammad Aswad Sobri, 35 memfailkan saman berkenaan dengan menamapakan PH, PTPTN dan kerajaan sebagai defendan.

Lima plaintif itu mendakwa ketiga-tiga defendan tersebut secara kontrak terikat untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto mereka termasuk berkaitan pinjaman PTPTN.

Pada 10 Jan tahun ini, Malaysiakini melaporkan bahawa PH, PTPTN dan kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan.