Skip to main
Logo Malaysiakini

Kawalan PKPD Hulu Langat memuaskan, kata IGP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui, Hulu Langat di Selangor berjalan dengan baik dan penduduk setempat juga kelihatan sangat tenang, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Kata Abdul Hamid pihak polis yang ditugaskan berkawal di kawasan tersebut sebelum ini sudah membuat hebahan agar orang ramai tidak keluar dari rumah masing-masing.

Beliau juga berkata tiada kejadian tidak diingini berlaku setakat ini.

"Saya buat tinjauan ke kawasan Sungai Lui ni untuk melihat sama ada petugas polis sudah pun menjalankan peranan dan tanggungjawab untuk memastikan kawasan ni betul-betul dapat disekat pergerakannya 100 peratus," katanya kepada media di satu daripada sekatan jalan raya yang dibuat di laluan kawasan berkenaan.

Kerajaan mengenakan PKPD di kawasan terbabit mulai tengah malam tadi selepas sebahagian besar penghuni asrama sebuah sekolah agama dijangkiti Covid-19.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, memberitahu kawasan yang terlibat ialah Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Beliau yang juga menteri kanan berkata terdapat 71 kes positif Covid-19 dikesan daripada 274 penghuni asrama Maahad Tahfiz an-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Menurut Ismail Sabri, penguatkuasaan PKPD itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 buah rumah. 

Ia adalah PKPD kedua dikuatkuasakan kerajaan selepas Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato' Ibrahim Majid di Johor mulai 29 Mac lalu.

Abdul Hamid berkata beliau berpuas hati dengan pelaksanaan PKPD dan sedang menunggu langkah selanjutnya yang akan diambil agensi berkaitan, seperti kementerian kesihatan.

"Saya dapati proses penguatkuasaan, rawatan, berjalan dengan begitu teratur sekali seperti di Simpang Renggam. Saya datang sini kerana nak lihat sama ada template (pencontoh) di Simpang Renggam dapat dilakukan di sini," katanya.

Abdul Hami berkata polis juga menggunakan teknologi dron untuk memantau kawasan dan mengumpulkan maklumat mengenai penduduk yang dikenakan PKPD itu.

"Dengan data-data ini kita boleh bantu Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.