Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes Covid-19 di Sg Lui meningkat, disyaki ada kaitan dengan kluster Tabligh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jumlah kes positif Covid-19 di daerah Hulu Langat telah meningkat kepada 271 setakat tengah hari tadi, dengan 90 daripadanya datang daripada sebuah sekolah tahfiz di Sungai Lui.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan mengesyaki rantaian jangkitan di daerah itu juga mempunyai kaitan dengan perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur akhir bulan lalu.

"Jika dilihat statistik, seluruh daerah Hulu langat ada 271 kes. Di Madrasah Nabawiyyah, Batu 24 Sungai Lui, ada 90 kes setakat ini.

"Pada mulanya didapati ada 71 kes. Apabila kita masuk ke sana dua hari lepas, kita dapati sekarang ini ada peningkatan hingga 90 kes," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata lagi, besar kemungkinan ada penduduk di daerah itu yang menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling, dan wabak telah menular apabila mereka pulang ke sana.

"Kluster besar kemungkinan ada kaitan dengan (kluster) jemaah Tabligh. Kalau lihat dalam tempoh sebulan, kluster Tabligh telah tularkan (jangkitan) sehingga ke generasi kelima.

"Mungkin ada antara penduduk di kampung di Hulu Langat atau Sungai Lui yang positif," katanya lagi.

Semalam kerajaan mengumumkan tujuh kampung di Sungai Lui dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) setelah Kementerian Kesihatan mengesan jumlah kes baru yang tinggi di sana.

Ia merupakan kawasan kedua yang dikenakan perintah itu, selepas dua kampung di Simpang Renggam, Kluang, pada 26 Mac.

Dua daripada tujuh kampung di Sungai Lui adalah penempatan Orang Asli.

Di bawah perintah itu, kata menteri kanan Ismail Sabri Yaakob yang bertanggungjawab terhadap keselamatan kluster, semua penduduk dan mereka yang berada di dalam kawasan dilarang keluar, dan perlu berada dalam rumah.

Katanya, semua laluan masuk akan ditutup dan orang luar juga tidak dibenarkan masuk sepanjang tempoh PKPD.

80 peratus kes berkaitan dengan kluster Seri Petaling

Noor Hisham berkata setakat ini, pihaknya telah membuat pemeriksaan kesihatan terhadap 18,271 orang yang mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh.

Daripada jumlah itu, katanya lagi, 14,111 orang telah diambil sampel dan 1,290 daripadany didapati positif.

Ia menjadikan perhimpunan itu kekal sebagai kluster terbesar, hampir 80 peratus daripada 2,626 kes positif Covid-19 setakat ini.

Katanya lagi, kini sejumlah 4,500 pesakit telah diasingkan bagi mengekang penularan wabak tersebut, dan daripada jumlah itu, 2,100 pesakit daripada kluster tersebut.

Ditanya berkenaan perkembangan usaha kementerian untuk mengesan dan membuat pemeriksaan terhadap pelarian Rohingya, beliau berkata mereka bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan badan bukan kerajaan lain.

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan percaya ada di kalangan komuniti itu yang turut hadir ke perhimpunan di Masjid Sri Petaling.

"Kami minta mereka tampil ke depan untuk disaring. Jika didapati positif, kita akan asingkan mereka," katanya lagi.

Pemeriksaan di Simpang Renggam

Berkenaan sama ada Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti kawasan lain yang mungkin dikenakan PKPD, Noor Hisham berkata ia akan dikenakan jika kawasan tersebut menunjukkan kenaikan tinggi kes baru.

"Jika ada kenaikan mendadak di kawasan itu, kita perlu ambil tindakan drastik. Jika tidak (wabak) akan menular dalam komuniti tersebut," katanya.

Berkenaan keadaan di dua kampung di Simpang Renggam yang dikenakan PKPD bermula 26 Mac lalu, beliau berkata pasukannya pada masa ini mampu mengadakan 300 pemeriksaan sehari di sana.

"Kita harap dalam masa 14 hari dapat kurangkan kes di dua kampung tersebut," katanya, sambil menambah selain kegiatan nyahkuman, pihaknya mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah di sana.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.