Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Khidmat hantar makanan hanya dari jam 8 pagi hingga 8 malam’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 dan memulihkan negara, kerajaan memperketatkan beberapa peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa kedua bermula esok hingga 14 April ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, waktu operasi bagi perkhidmatan bas henti-henti, bas ekspres, tren, rel dan terminal-terminalnya akan terus beroperasi dengan dihadkan kepada jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.

“Perkhidmatan teksi dan e-hailing akan dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari, berkuatkuasa mulai esok.

“Manakala perkhidmatan penghantaran makanan (delivery) pula dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam,” kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, bagi membolehkan pergerakan lebih lancar semasa PKP, syarikat logistik dan pengangkutan digalakkan untuk memindahkan barangan mereka antara jam 7:00 malam hingga 7:00 pagi.

“Kerajaan mengakui bahawa barang-barang keperluan asas termasuk makanan dan ubat-ubatan mesti dihantar ke destinasi mereka tanpa sebarang masalah.

“Kementerian dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) ingin mengingatkan semua pengendali, pemandu, dan operator pengangkutan awam darat supaya mematuhi PKP dan peraturan-peraturan lain yang berkaitannya,” kata kementerian.

Selain itu, ia juga mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan dankesihatan diri.

“Para penumpang dan orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan tersebut termasuk mengawasi penjarakkan sosial 1 meter, memakai topeng muka dan mengelakkan kesesakan semasa menggunakan pengangkutan awam sepanjang tempoh ini,” kata kenyataan itu.