Skip to main
Logo Malaysiakini

PKPD: ‘Tak adil salahkan warga asing’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tidak adil untuk menuding jari kepada warga asing susulan kes jangkitan Covid-19 di Menara City One, Kuala Lumpur, kata pengurusan kondominium itu.

Memetik laporan The Star, seorang jurucakap pengurusan berkata hanya seorang yang positif Covid-19 di bangunan itu, yang dikaitkan dengan kumpulan peserta Tabligh di Masjid Sri Petaling.

"(Seramai) 12 orang yang diuji positif untuk Covid-19 adalah hanya dari satu keluarga (asing), jadi tidak adil untuk mengatakan bahawa ramai orang yang dijangkiti kerana bangunan itu mempunyai kepadatan tinggi orang asing yang tinggal di sana.

"(Seramai) 12 orang yang dijangkiti adalah daripada keluarga besar, yang mesti mendapatinya melalui jarak dekat," kata jurucakap itu.

Jurucakap itu juga berkata penduduk kondominium terdiri daripada 70 peratus warga asing yang kebanyakannya bekerja di dalam dan sekitar kawasan Masjid India.

Pihak pengurusan juga membantu membeli makanan dan keperluan harian bagi mereka yang sementara bangunan itu berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Keputusan untuk mengenakan PKPD pada bangunan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 17 kes Covid-19 yang dikaitkan dengan kondominium itu.

Selain kondominium, beberapa kawasan di Hulu Langat dan dua kawasan di Simpang Renggam juga di bawah PKPD.

Di bawah perintah itu, penduduk terpaksa tinggal di rumah dan tiada pergerakan masuk dan keluar dibenarkan di kawasan yang terjejas.

Jabatan kebajikan akan mengedarkan makanan kepada penduduk ke setiap rumah.

Dihubungi kemudian, Persatuan Perniagaan Jalan Masjid India (Miba) berkata bahawa mereka tidak mempunyai masalah dengan tindakan kerajaan mengenakan PKPD terhadap kondominium tersebut.

"Tidak ada isu. Kami akan ikut arahan kerajaan," kata pengerusi Miba Ameer Ali Mydin kepada Malaysiakini menerusi satu mesej ringkas.

Untuk rekod, lebih 80 peratus operasi perniagaan di kawasan Masjid India ditutup selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP pada 18 Mac yang disambung sehingga 14 April ini.

Namun, masih 20 peratus perniagaan seperti restoran makanan, pasaraya dan perniagaan melibatkan keperluan harian masih terus beroperasi.