Skip to main
Logo Malaysiakini

Sepucuk surat tentang cermin untuk Tuan Menteri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

"cermin tak pernah berteriak; 

ia pun tak pernah meraung, tersedan, atau terisak [...]"

Ke hadapan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli al-Bakri di Putrajaya dengan selamat dan sejahteranya.

Pada ketika kita masih bergelut dan kalut melawan kuman yang tidak dapat kelihatan dek mata kasar ini, maafkan saya jika teringat kepada Tuan. Memanglah ada banyak kisah suka dan duka - juga lucu - melibatkan politik serta menteri berlaku akhir-akhir ini. Ia sering mengalih perhatian saya.

Namun di sebalik semua itu, saya selalu benar terkenang kepada Tuan. Justeru besarlah harapan saya agar Tuan memaafkan kehadiran surat ini.

Tuan,

Biar saya berterus terang di sini. Saya mengambil keputusan untuk menulis warkah ini kerana saya ini seorang penakut. Hal-hal berkaitan Covid-19 dan apa yang berkaitan dengannya membuat saya menggigil. Saban hari - terutama pada waktu petang - kita menanti dengan penuh debaran akan khabar dibawa Kementerian Kesihatan.

Kita berharap Dr Noor Hisham Abdullah mengkhabarkan berita gembira, iaitu tiada lah kematian baru dicatatkan, pola jangkitan menurun dan semakin ramai orang yang sembuh serta dibenarkan pulang.

Tetapi setakat ini, petang adalah waktu untuk kita berdukacita.

Ramai ustaz dan ulama berkata, Covid-19 ini adalah dugaan buat orang beriman dan bala kepada orang yang ingkar. Tapi saya bimbang dengan kenyataan mudah sebegitulah maka kita menjadi alpa dan mengambil mudah akan setiap bencana yang didatangkan Tuhan.

Banyak benci dan sengketa

Maka maafkan saya jika saya terkhilaf kerana mahu menganggap bahawa semua bencana yang datang itu sebagai 'bala' buat kita. Agar kita segera insaf atas segala kelemahan yang diperbuat sembari meningkatkan kualiti amalan masing-masing.

Sesekali, datang juga bimbang jika bala itu sebenarnya datang atas kesilapan saya. Malang benar orang lain yang tidak bersalah terpaksa menanggung beban dan bencana kerana dosa saya.

Tuan,

Kuman Covid-19 sudah mengubah peraturan dan rutin kita. Daripada pantas dalam segala-galanya, kita menjadi perlahan. Malah pada sisi tertentu, kita menjadi sangat perlahan.

Untuk ke pasar kita terpaksa banyak bersabar. Untuk ke pejabat kita jadi selalu lambat. Untuk ke masjid, kita masih terpaksa menunggu keadaan wabak menjadi reda.

Tetapi Tuan, ada yang masih kekal pantas. Iaitulah jari-jemari yang menghantar kebencian serta persengketaan di alam maya.

Tuan mungkin tidak menghadapi sangat cercaan itu meskipun saya yakin Tuan pernah mengalaminya sebelum ini. Dipanggil khadam kepada sesebuah parti, misalnya. Namun Tuan bertuah kerana membawa jalan yang Tuan gunakan sekarang. Justeru, sesuai benarlah Tuan dilantik menjadi menteri.

Seperti yang saya katakan tadi, kata-kata kebencian, fitnah, pembohongan, kejahilan dan apa-apa yang sewaktu dengannya kekal bergerak pantas. Kadang-kadang ia digerakkan oleh orang yang diberikan kedudukan tinggi dalam masyarakat. Mereka digelar ustaz, tuan guru atau alim.

Rezeki daripada adu-domba

Memang sesuai benar mereka itu dipanggil ustaz, tuan guru, alim atau sebagainya jika dilihat kepada jubah, serban dan janggut misai masing-masing. Namun kadang-kadang saya beristighfar juga kalau membaca status hantaran mereka di media sosial atau syarahan yang disampaikan di mana-mana. Pernah ada yang menunjukkan jari tengah pun.

Selalu juga semua aksi itu dilakukan di bawah naungan kubah masjid.

Suatu ketika dulu, untuk mendengar seseorang yang bergelar ustaz berkata kasar dan keji pun payah. Kini ada orang yang diberi gelaran ulama, tuan guru dan ustaz dengan selamba menulis organ dalam kain manusia untuk melampiaskan kemarahannya.

Tahukah Tuan kemarahan apa? Cuma kemarahannya kepada musuh politik.   

Jika orang yang digelar dengan panggilan tinggi itu berkelakuan begitu, bayangkan bagaimana pentaasub parti, pengikut dan pengagum mereka. Itu belum lagi dikira tukang adu-domba yang menggunakan pelbagai akaun palsu di media sosial.

Hal ini sudah berlarutan lama. Malangnya belum ada yang nampak dengan jelas memberikan teguran. Mungkin keterlaluan untuk mengharapkan pihak Tuan mengeluarkan apa-apa fatwa mengenainya, namun memberikan nasihat dan peringatan yang jelas sepatutnya boleh melegakan.

Pernah juga beberapa kali mendengar khutbah tentang bahaya menularkan berita palsu. 

Tetapi seingat saya belum ada khutbah yang memberi amaran tentang penipuan identiti di alam maya serta hukum memaki-hamun dalam talian ini. Misalnya, habuan buat orang yang menelan rezeki daripada menipu identiti serta mengadu-domba.

Itu belum lagi hal-hal berkaitan kenyataan yang menghalalkan darah orang lain atas dasar berbeza pandangan, parti atau pendekatan. Saya tidak fikir Tuan akan menafikan keberadaan isu ini.

Covid-19, Covid-19 juga. Kejahilan, fahaman melampau dan ketaasuban pun penting untuk ditangani segera.

Cuma khutbah bukanlah satu-satunya cara untuk berbuat demikian. Dan belum terlambat untuk berbuat demikian.

Tuan,

Saya terkenang juga, kalau melihat guru kencing berdiri saja membawa kepada anak murid kencing berlari-lari, bayangkan hal sama diperbuat oleh ustaz dan 'alim ulama'. Bagaimana anak-anak murid mereka, gamaknya.

Jika Tuan mahu tahu, lihat saja bagaimana reaksi sesetengah orang yang membaca tulisan ini, atau tulisan lain yang seumpama dengannya. Barangkali Tuan tidak memerlukan masa lebih dari lima saat untuk menemukan apa yang saya maksudkan.

Saya berharap saya salah, tetapi biasanya jangkaan saya betul.

Tuan,

Seperti yang saya nyatakan awal-awal tadi, saya ini penakut. Saya takut keceluparan itu mengundang bala tetapi apa yang berlaku ditafsir oleh sesetengah pensyarah kitab-kitab agama cuma sebagai dugaan. Maka kita akan terus-terusan menadah batang tubuh untuk dihempap kemurkaan Tuhan.

Sebagai seorang Muslim juga, sudah tentu saya yakin dengan pasti bahawa agama itu bukan candu. Tetapi apa yang menggusarkan saya ialah, ketagihan menunggang agama untuk kepuasan politik itu sebenarnya 99 kali ganda lebih merosakkan berbanding candu.

Pada ketika tertentu nampak kecenderungan sesetengah orang menunjukkan rasa sayang mereka kepada parti jauh lebih tinggi berbanding agama.

Sikap sentiasa berasa diri berada di pihak yang benar itu berbahaya, Tuan. Sedang kita semua sentiasa berbuat dosa. Sudah tentu dosa sayalah yang lebih banyak berbanding orang lain, manakala amalan baik saya pula amat sedikit. Justeru ketakutan dan kebimbangan saya adalah benar, bukan main-main.

Tuan,

Lihat tanda-tanda itu. Lihat juga tanda pada "T" yang saya gunakan. Memanggil orang dengan gelaran tuan saja sangat jarang saya lakukan, apa lagi meletakkan huruf besar pada awal perkataan itu. Ia sesuatu yang menjengkelkan saya. Ia adalah gambaran jiwa hamba.

Huruf T yang besar

Ia lebih sedap digunakan untuk orang yang benar-benar wajar dihormati dan tidak berbuat apa-apa untuk dihormati.

Penjual sayur di pasar basah yang sekarang gelisah kerana wabak penyakit, contohnya, atau tukang sapu sampah dan pembersih longkang yang bekerja seharian untuk membawa pulang rezeki halal buat anak dan isteri.

Bukankah nabi yang sangat kita cintai itu pernah mencium tangan sahabat yang kasar lagi kematu kerana mereka membanting tulang dengan kejujuran?

Namun untuk Tuan yang dihormati, saya kecualikan. Itu adalah tanda hormat dan harapan saya yang tinggi. Justeru Tuan saya panggil Tuan, dengan huruf 'T' yang besar.

Tuan,

Suatu ketika dulu Bill Shankly ada berpesan: You must believe you are the best and then make sure that you are. Saya yakin Tuan antara yang terbaik. "Ter" itu merujuk kepada hal yang "paling" atau "amat" bukan "ter" yang bermaksud tidak sengaja.

Di permulaan surat ini tadi, ada saya petik sebuah sajak. Cermin 1 judulnya. Ditulis oleh Sapardi Djoko Damono pada 40 tahun lalu. Izinkan saya menghabiskannya:

"cermin tak pernah berteriak; ia pun tak pernah

meraung, tersedan, atau terisak,

meski apa pun jadi terbalik di dalamnya;

barangkali ia hanya bisa bertanya:

mengapa kau seperti kehabisan suara?"

Kita perlukan cermin, Tuan. Hal kecil yang selalu kita abaikan di sebalik kepentingan cermin yang pelbagai. Cermin bukan saja untuk melihat diri kita agar kemas dan menarik. Ia juga untuk membuat manusia melihat kekurangan diri sendiri.

Tuan boleh menjadi cermin yang menunjukkan jalan dan menasihatkan untuk mengasingkan di antara benar dan salah.

Sebagai seorang pemimpin, biasanya kita tidak akan bersendirian. You'll never walk alone. Tapi hati-hati, Tuan. Hakikatnya ia bukan bersifat mutlak begitu. Politik ini adalah dunia yang ganas dan bergelora. Saya yakin Tuan sangat arif akan hal itu.

"Kita mesti berjuang memerangi diri

bercermin dan banyaklah bercermin

Tuhan ada di sini di dalam jiwa ini

berusahalah agar Dia tersenyum

berusahalah agar Dia tersenyum."

- Ebiet G Ade, Untuk Kita Renungkan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang membesar di Teluk Intan, Perak, dan ternanti-nanti sinar RUU355 di negeri itu selepas PAS menjadi kerajaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.