Skip to main
Logo Malaysiakini

Tahlil dalam talian untuk Covid-19 di UK

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Komuniti Melayu di United Kingdom telah menjalankan bacaan tahlil secara maya bagi buat rakan-rakan yang dijangkiti wabak Covid-19 di negara itu.

Program “Solidariti Masyarakat Melayu UK” anjuran Masjid Sofa London itu disiarkan secara langsung di Facebook masjid dan diketuai imam masjid tersebut, Mohd Zaki Ismail.

“Apabila kita berada dalam situasi kekacauan, kuarantin dan pengasingan diri, kita berada di sini untuk menyatakan bahawa kita masih bersama dengan kamu,” kata Zaki seperti dilaporkan NST Online.

Masjid Sofa London ialah masjid Melayu pertama di UK yang ditubuhkan pada tahun 2016.

Sejak WHO mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, masjid yang terletak di Acton barat London itu ditutup untuk solat Jumaat, kelas Quran dan aktiviti lain untuk membantu mengekang penularan wabak itu.

“Sejak lokasi itu ditutup, beberapa program seperti ceramah dijalankan secara dalam talian untuk mengekang penularan wabak itu..

“Setelah mengetahui kematian tiga masyarakat Melayu di sini minggu lalu, pihak pengurusan masjid memutuskan untuk mengambil langkah proaktif melakukan solat dan tahlil atas talian,” jelasnya.

Zaki turut berkata semasa pengebumian Husin Long, 75, pada 22 Mac, hanya 10 orang yang dibenarkan hadir.

“Perhimpunan untuk doa biasanya dilakukan selepas pengebumian diharamkan kerana risiko penyebaran penyakit yang semakin meningkat,” beliau dipetik sebagai berkata.

Kematian Husin diikuti oleh Lajis Bador dan Maimunah Mohamad, kedua-duanya berusia 70-an.

Setakat ini 1,829 kematian telah dicatatkan di UK dengan 6,521 kes dilaporkan di London.