Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Garis panduan baru untuk NGO edar bantuan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengemukakan satu panduan baru untuk NGO yang terlibat secara langsung mengedarkan bantuan kepada kumpulan terjejas akibat wabak Covid-19.

Menurut garis panduan itu, mana-mana NGO kebajikan mesti mendaftarkan diri mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat terdekat atau pejabat kebajikan daerah sehari sebelum tarikh pengagihan bantuan.

"Hanya barangan kering dan makanan yang dimasak dibenarkan untuk diedarkan," katanya.

Seterusnya, dinyatakan kumpulan kebajikan berkenaan mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Peraturan itu adalah: Pemeriksaan suhu; memakai penutup mulut dan hidung; memakai sarung tangan; membawa cecair basmi kuman; mengamalkan penjagaan jarak antara satu sama lain (pada ukuran satu meter); dan terhad kepada hanya dua orang daripada satu NGO.

Menurut garis panduan tersebut, proses pengedaran akan disertai oleh Rela dan anggota tentera, sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyelaraskan proses keseluruhannya.

Garis panduan baru yang dikeluarkan hari ini berikutan kekeliruan yang timbul selepas Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menasihatkan NGO supaya tidak mengedarkan bantuan terus kepada penerima dan menyalurkan bantuan mereka ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat terdekat.

Ismail pada 29 Mac lalu berkata keputusan tersebut diambil setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan untuk menjaga keselamatan ahli NGO yang terlibat.

"Jika mereka hantar sendiri kepada penerima yang mereka sendiri tidak tahu penerima itu bersih daripada Covid-19 atau tidak, kita bimbang jika ada dalam kalangan NGO yang dijangkiti dan akhirnya merebak kepada ahli lain dan keluarga mereka.

"Walaupun mereka ingin menyumbang tetapi kita mesti jaga kepentingan kesihatan mereka dan nyawa mereka," katanya menjelaskan sedia berbincang lanjut dengan NGO mengenai perkara itu.

Pelbagai kumpulan kemudian telah menggesa kerajaan untuk menimbang semula keputusan itu, dengan alasan bahawa ia akan menjadi beban tambahan kepada petugas barisan hadapan yang memikul pelbagai tanggungjawab sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.