Skip to main
Logo Malaysiakini

Usah perkecil PM, Muhyiddin umpama ayah - PAS

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PAS hari ini menganggap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin umpama seorang ayah dalam memberikan nasihat agar semua orang terselamat daripada penularan pandemik Covid-19.

Ketua peneranganya, Kamaruzaman Mohamad berkata dalam suasana negara sedang berperang dengan penuralan virus itu, semua pihak mesti mematuhi setiap arahan yang telah dikeluarkan oleh perdana menteri itu.

"Kerana apa? Kerana pematuhan kita kepada perdana menteri ini akan membantu negara untuk keluar dari wabak Covid-19 ini.

"Jadi, hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin seumpama ayah kita yang memberi arahan dan nasihat supaya kita terselamat dari wabak ini.

"Seumpama seorang ayah yang menasihati anak-anak dan keluarga beliau. Jangan keluar daripada rumah kerana di luar sana ada wabak virus yang sedang menunggu," kata Kamaruzaman menerusi hantaran video yang dimuatnaik di Facebook TV PAS, hari ini.

 Kamaruzaman Mohamad 

Hari ini negara memasuki fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan bagi memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.

Fasa pertama PKP telah bermula pada 18 Mac lepas dan tamat pada 31 Mac, iaitu semalam.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata sebagai seorang ayah, Muhyiddin mempunyai tanggungjawab yang besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

"Walaupun ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan TSMY, mempertikaikan ayah kita seumpama suara-suara hasutan yang minta kita keluar, jangan patuhi arahan ini, memperkecilkan kewibawaan ayah kita dalam mengurus wabak ini. Inilah suara-suara penghasut daripada luar yang ingin merosakkan negara kita secara politik.

"Jadi, sebagai ayah beliau memilik tanggungjawab untuk menyelamatkan keluarga beliau daripada wabak ini.

"Sebagai perdana menteri beliau memilik tanggungjawab untuk menyelamatkan negara. Kalau kita sayangkan anak-anak kita, sayangkan isteri kita, sayangkan pasangan kita, sayangkan keluarga kita, kita mesti mematuhi sepenuhnya arahan-arahan ini,"katanya.

Menurut Kamaruzaman lagi, negara hari ini berada dalam keadaan krisis yang sangat teruk.

Katanya, antara punca negara berada dalam keadaan tesebut adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyekat wabak Covid-19 ini daripada awal dan dari terus merebak.

"Hari ini negara berada dalam keadaan krisis yang sangat teruk. Antara puncanya adalah kegagalan kerajaan PH untuk menyekat wabak ini daripada awal, daripada terus merebak. Maka, negara hari ini berada dalam keadaan krisis kerana kelemahan kerajaan PH,"katanya.

Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh semasa pentadbiran PH sebelum ini adalah Menteri Dalam Negeri (KDN)

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan dua lagi kematian yang mempunyai kaitan dengan jangkitan Covid-19, menjadikan korban akibat virus itu dalam negara sebanyak 45.

Manakala sebanyak 142 kes jangkitan baru dilaporkan, yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak 2,908 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya memaklumkan bahawa kedua-dua korban terbaru itu melibatkan warganegara Malaysia.