Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakej rangsangan mampu tampan kesan KDNK paras negatif - Pensyarah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tindakan kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, khususnya Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mampu menampan kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat wabak Covid-19.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Abdul Rais Abdul Latiff berkata demikian sebagai mengulas ramalan Bank Dunia yang menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia untuk 2020 akan merudum ke bawah paras negatif (-0.1 peratus).

Abdul Rais ketika dihubungi memberitahu Malaysiakini, pakej rangsangan ekonomi akan meningkatkan komponen penggunaan swasta yang juga merupakan komponen yang terbesar di dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Jelasnya, rangsangan ini akan mengimbangi kesan kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19 dan harga minyak mentah dunia yang tidak stabil.

"Keadaan ini telah memberi impak yang besar terhadap eksport negara dan seterusnya memberi kesan terhadap sektor pembuatan negara yang mempunyai hubungan dengan tingkat pengeluaran dan hasil eksport negara.

"Jika senario ini berlanjutan, akan mengakibatkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi.

"Namun pakej rangsangan RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dijangka akan menjadi pengimbang terhadap tekanan ekonomi yang sedang dihadapi negara," katanya.

Menjelaskan lanjut, Abdul Rais berkata Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dalam pakej rangsangan itu membantu kuasa beli rakyat supaya terus aktif yang memberi dampak positif pada rangkaian kegiatan ekonomi negara.

"BPN dijangka akan membantu isi rumah untuk meningkatkan pendapatan mereka seterusnya meningkatkan kuasa beli mereka.

"Oleh yang demikian di jangka apabila kuasa membeli isi rumah meningkat maka aktiviti ekonomi domestik akan terus aktif dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Selain itu juga, peningkatan terhadap aktiviti domestik dijangka juga akan memberi sumbangan terhadap peningkatan permintaan dalam pasaran dan ini akan memberi impak terhadap aktiviti pengeluaran dalam ekonomi negara," katanya lagi.


BACA BERKAITANBayaran BPN mula disalur hujung April


Menurut Abdul Rais, beliau yakin pengalaman Malaysia mengharungi krisis kewangan pada 1997 dan 2008 menjadikan negara ini matang dan mampu mengendalikan kegawatan ekonomi akibat wabak Covid-19.

"Dasar-dasar yang telah dikenalpasti dan dilaksanakan oleh negara adalah amat bersesuaian dan bertepatan.

Tanpa korban kesejahteraan rakyat

"Pengalaman Malaysia dalam mendepani isu tekanan ekonomi yang pernah dilalui negara pada tahun 1997 (Krisis Kewangan Asia), 2001 (kemelesatan ekonomi global) dan 2008 (krisis kewangan global) menunjukkan kematangan dan kemampuan negara untuk berhadapan dengan cabaran ini dengan bijaksana dan cekap tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat dan ekonomi domestik," jelasnya lagi.

Semalam dilaporkan, Bank Dunia meramalkan Malaysia berdepan kemelesetan ekonomi bagi tahun 2020, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dianggarkan pada kadar negatif (-) 0.1 peratus.

Dalam penerbitannya berjudul Kemas Kini Ekonomi Pasifik dan Asia Timur bulan April, Bank Dunia meramalkan hanya dua negara di Asia Tenggara yang mengalami pertumbuhan negatif, iaitu Malaysia dan Thailand.

Menurut Bank Dunia ramalan itu mengambil kira pertumbuhan Malaysia yang semakin perlahan sejak separuh kedua tahun 2019 dan sedang berdepan pula dengan gangguan ekonomi berskala besar, yang dijangka berlarutan sepanjang tahun.

“Amatlah penting untuk diketahui bahawa anggaran ini mempunyai darjah ketidakpastian yang tinggi, bergantung pada perkembangan pesat wabak, baik di dalam negara atau di peringkat global, serta polisi tindak balas susulan,” katanya.

Bank Dunia juga menjangkakan golongan berpendapatan rendah (B40) dan kelas menengah (M40) berisiko kehilangan punca pendapatan.

"Bantuan ekonomi yang berkesan sangat bergantung terhadap bantuan sosial sedia ada yang teruji, seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan program Bantuan Sara Hidup serta insurans sosial pekerjaan seperti KWSP dan Skim Insurans Pekerjaan," kata institusi kewangan itu lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.