Skip to main
Logo Malaysiakini

Mufti cadang SOP ketat solat tarawih tahun ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mufti Pahang Abdul Rahman Osman mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi solat tarawih secara berjemaah tahun ini.

Beliau memberitahu Malaysiakini, langkah tertentu perlu diambil bagi memastikan mereka yang ke masjid atau surau untuk beribadat tidak terdedah dengan ancaman wabak Covid-19.

"Kita harap ketika itu (Ramadan) sudah boleh solat berjemaah (di masjid), bagaimanapun kalau nak solat jemaah kena ada SOP yang ketat, contohnya kita periksa suhu badan dan sebagainya.

"Mungkin kalau reda (Covid-19) kita dapat kawal orang yang pergi ke masjid bagi memastikan mereka yang lain tidak rasa takut (ancaman penyakit) ketika solat berjemaah di masjid.

"Namun, bagi orang yang bimbang akan jangkitan Covid-19 jika pergi ke masjid, tidak wajib untuk dia datang solat berjemaah, begitu juga dengan individu yang berisiko menyebarkan penyakit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahman bagaimanapun berharap agar wabak Covid-19 segera berlalu bagi membolehkan umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadan seperti kebiasannya.

Jelasnya, "nikmat Ramadan" sedikit hilang sekiranya umat Islam tidak dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid mahupun surau.

Majlis Dakwah Negara hari ini mencadangkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di rumah masing-masing Ramadan nanti, sekiranya wabak Covid-19 masih belum berakhir.