Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada bazar Ramadan sempena Aidilfitri di Kedah tahun ini

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kedah membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan dan jualan sempena perayaan Aidilfitri di negeri itu pada tahun ini susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata keputusan itu diambil selepas perbincangan dilakukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

"Kita nak mengelakkan berlaku pengumpulan atau (orang) berhimpun ramai-ramai yang boleh menyebabkan penularan wabak ini.

"Kita akan minta semua pihak berkuasa tempatan yang sudah berurusan, termasuk yang sudah ambil deposit untuk sewa tapak atau gerai, supaya pulangkan bayaran itu," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan pembayaran sewa bagi Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik kerajaan negeri selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 Sept ini.

"Bayaran sewa skim PPR transit juga dikecualikan (ditangguh) selama enam bulan serta bayaran sewa kedai di bawah seliaan Bahagian Perumahan (kerajaan negeri) juga sama (diberi penangguhan) selama enam bulan)," katanya.

Mukhriz berkata penangguhan bayaran sewa PPR dan RPA itu akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM2.76 juta.

Beliau turut memaklumkan bahawa fasa satu program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang sepatutnya berakhir pada 30 April ini akan dilanjutkan sehingga Jun 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya sejumlah 4,281 penerima mendapat manfaat bagi fasa satu pelaksanaan program itu.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.