Pelajar kolej seminari main bola dihukum buat kerja khidmat masyarakat
Sejumlah 24 pelajar sebuah kolej seminari di Pulau Pinang mengaku bersalah terhadap pendakwaan mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).
Peguam yang mewakili pelajar Kolej Seminari Tinggi Katolik tersebut, Simon Murali berkata selepas mendengar penghujahan (mitigating submission), Mahkamah Majistret mengenakan perintah kehadiran wajib.
"Ini bermakna pelajar seminari diarahkan untuk melakukan kerja khidmat masyarakat di bawah panduan dan pantauan pegawai parol," katanya kepada Malaysiakini.
Penghujahan dibuat di depan Majistret Rosnee Mohd Radzuan, manakala Nabila Huda Muhammad Nazim sebagai timbalan pendakwa raya.
Menurut Simon, perintah kehadiran wajib itu berkuat kuasa hari ini, dan 24 pelajar itu perlu melakukan kerja khidmat masyarakat selama tiga jam pada hari bekerja selama tiga bulan.
"Tiada denda atau penjara, hanya kerja sosial," katanya lagi.
Ketika prosiding, Simon berhujah bahawa para pelajar telah melaksanakan langkah ketat di kolej dan di kalangan pelajar selaras dengan PKP.
Dia berkata, pelajar dilarang meninggalkan kawasan kolej mahupun berhubung dengan orang luar.
"Kedua, pelajar seminari tinggal sebagai uniti keluarga, di mana setiap mereka menjalani pemeriksaan kesihatan dan semuanya sihat.
"Perlawanan bola sepak adalah sebahagian daripada langkah agar pelajar kekal sihat dan cergas.
"Padang bola berada dalam kawasan kolej, dipagar dengan ada pengawal keselamatan di pintu masuk," kata Simon.
PKP berkuatkuasa sejak 18 Mac sehingga 14 April ini.
Setakat lima petang semalam, sejumlah 2,908 kes Covid-19 direkodkan di Malaysia, dengan 2,218 daripadanya kini menjalani rawatan, 645 sudah sembuh dan dibenarkan pulang, dan 45 orang meninggal dunia.
Polis menahan 24 pelajar seminari itu semalam kerana melanggar PKP dengan bermain bola sepak di padang kolej, di Jalan Cengai, Tanjung Bungah.
Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata polis ke tempat kejadian pada pukul 7.14 petang selepas menerima aduan orang awam.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai