Skip to main
Logo Malaysiakini

Ingkar PKP: Lebih 4,000 tangkapan, 1,000 didakwa di mahkamah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis telah melakukan sebanyak 4,189 tangkapan, manakala 1,449 individu didakwa di mahkamah kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac.

Bagaimanapun Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah mereka yang ditahan pihak berkuasa mulai menurun.

"Semalam pihak polis telah menahan seramai 562 individu berbanding 583 individu yang ditahan pada hari sebelumnya di sekatan jalan raya dan rondaan PDRM kerana melanggar PKP.

"Ini menunjukkan 3.6 peratus penurunan dari segi jumlah tangkapan. Jika trend penurunan ini menunjukkan pematuhan rakyat kepada perintah, maka ia merupakan perkara yang baik dan ditunggu-tunggu oleh pihak kerajaan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari inin.

Daripada mereka yang didakwa, Ismail berkata terdapat kes di mana individu dijatuhkan hukuman penjara sehingga 8 bulan kerana bukan sahaja melanggar PKP, tetapi juga melakukan kesalahan lain seperti melawan arahan pihak polis.

Hukuman maksimum melanggar PKP adalah penjara selama 6 bulan, atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Ismail berkata semalam sahaja sebanyak 687 sekatan jalan raya membabitkan pemeriksaan terhadap 380,342 kenderaan telah dijalankan.

Selain itu, sebanyak 3,791 premis telah diperiksa dan 23,256 pemeriksaan mengejut telah dilaksanakan.

Ismail berkata, polis akan mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan.

"Tindakan mereka kini adalah ditahap keras. Kalau dulu tegas. Mula-mula berlembut dan menasihat, dan kini mode polis adakah keras," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.