Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua menteri Sarawak kuarantin diri sendiri - Laporan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dua menteri Sarawak kini dilaporkan sedang mengkuarantin diri sendiri selepas bertemu dengan seorang individu yang diuji positif Covid-19, bulan lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah (gambar tajuk, atas) dipetik portal The Malaysian Insight berkata kedua-dua mereka kini sedang menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari mulai hari ini di rumah masing-masing.

Dua menteri itu ialah Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Fatimah Abdullah.

Menurut Unggah, kedua-dua mereka telah menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19, pada 27 Mac lepas bersama penduduk Samarahan.

Bagaimanapun didapati salah seorang daripada penduduk terbabit telah diuji positif, dengan rujukan kes ke 33 di negeri itu.

Uggah juga menafikan laporan berita bahawa Awang Tengah dan Fatimah diuji positif Covid-19.

“Syaratnya, sekiranya anda ada berada berdekatan atau ada bertemu secara kasual dalam sesuatu pertemuan dan ada kes positif, kesemua yang berada dalam pertemuan itu perlu melakukan kuarantin,” katanya.

Uggah berkata semua orang yang masuk ke Sarawak akan ditempatkan secara automatik di pusat kuarantin di pintu masuk sempadan negeri itu bermula Sabtu lalu.

Tambah Unggah, setakat ini tujuh pegawai kesihatan terdiri daripada lima orang doktor dan dua jururawat di Sarawak dilapor positif Covid-19.

Seorang jururawat yang bertugas di klinik daerah Depak, Betong disahkan positif selepas mempunyai kontak dengan pesakit kluster Tabligh.

Lapan anggota jemaah Tabligh telah diuji positif dan dikuarantin di Betong.

Sementara itu, seramai enam kakitangan kesihatan dilapor positif Covid-19 di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

[Baca berita asal]